J-KOM is very much in the news lately. Banyak diperkatakan mengenai Jabatan Komunikasi Komuniti – entiti yang tertakluk bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Ramai tahu kenapa. Ini kita cerita sebentar lagi.
Entiti sepertinya sudah wujud lama dulu, sebagai Badan Hal Ehwal Khas atau singkatannya, BHEK. Unit bawah Kementerian Penerangan ini ditubuhkan selepas PRU Tanah Melayu 1959. Objektifnya untuk mengekal dan melindungi kestabilan politik, agama, dan tentunya, kerajaan. Ini zaman Perikatan.
Pada 1960, BHEK menjadi Cawangan Hal Ehwal Khas atau CHEK dan diletakkan bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Penerangan. Menurut Wikipedia, Jemaah Menteri pada Mac 2000 meluluskan pembentukan suatu Jabatan Hal Ehwal Khas atau JHEK. Ertinya naik taraf daripada CHEK.
Pada 2004, JHEK ditukar menjadi JASA, yang pada mulanya bertujuan menerangkan inisiatif dan program pemerintah sebelum perlahan-lahan menjadi jentera propaganda Barisan Nasional untuk ‘menyerang’ pembangkang.
Bagaimanapun apabila BN tumbang pada PRU 2018, Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri mengumumkan pembubaran JASA kerana memiliki “terlalu banyak unsur politik”. Pembubaran penuh pada 16 Oktober tahun sama dialu-alukan banyak pihak.
Dua tahun kemudian muncul kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, yang kita tahu turut disokong BN. JASA dihidupkan semula menerusi Jabatan Komunikasi Komuniti.
Kemudian ia dikekalkan oleh kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih kuasa daripada PN. Selepas PRU15 kerajaan perpaduan sekarang mewarisi J-KOM tetapi menempatkan personaliti yang menyokongnya untuk mengemudi agensi berkenaan. This is only natural. Tidak apa yang memeranjatkan. Kalau ada yang terperanjat mungkin kalangan pihak yang menjangka kerajaan perpaduan akan seperti PH dulu membubarkan J-KOM.
Apa pun J-KOM tetap wujud. Walau apa pun falsafahnya jujur dikatakan tugasnya ialah membuat kerajaan kelihatan ‘cantik’. In short, to make the government look good. Tidak ada salahnya hasrat itu. Bagi saya itu lah yang J-KOM cuba lakukan apabila tempoh hari mengeluarkan infografik yang mendakwa belanja dapur bagi keluarga empat anggota bergaji minimum RM1,500 ialah RM391 sebulan.
Perkiraan itu diutarakan J-KOM bagi menjawab persoalan adakah benar belanja dapur meningkat dari RM200 ke RM500 sebulan. Lazimnya apabila kos sara hidup atau harga barang naik, jari akan tuding kerajaan. Tak kira lah pemerintah mana pun. Lantas pada hemat saya J-KOM bertindak untuk sekurang-kurangnya meredakan serangan ke atas kerajaan. Ia membariskan contoh perbelanjaan sekeluarga melibatkan enam barangan iaitu ayam, beras, minyak masak, telur, roti, dan gas masak.
Pun begitu kiraan pelbagai pihak berdasarkan enam barangan itu berbeza dengan RM391 sebulan yang dinyatakan. Kita tahu apa yang terjadi. J-KOM dibidas teruk di samping sindiran pedih warganet. Ini semua sudah maklum maka tidak perlu saya huraikan.
Sehari kemudian yakni 13 Julai tampil Ketua Pengarah Mohammad Agus Yusof menjelaskan apa yang disifatkan kekeliruan di sebalik infografik simulasi yang dimuat naik di Facebook J-KOM. Mungkin ramai yang sudah ikuti penjelasan beliau. Mungkin juga tidak. Hakikatnya J-KOM masih dipersenda. Oleh itu saya akan ringkaskan penjelasannya.
Kata beliau, simulasi itu dibuat berdasarkan enam barangan utama yang dikatakan harganya telah naik mendadak menyebabkan kos perbelanjaan meningkat daripada RM200 kepada RM500 sebulan. Menurut Agus, pihaknya membuat rujukan mengenai harga barangan tersebut termasuk merujuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selain membuat tinjauan dan temubual pengguna.
“J-KOM hanya merujuk kepada enam harga barang sama ada barangan kawalan, bersubsidi atau tidak untuk dibandingkan dengan dakwaan tidak berasas mengenai kenaikan harga barang,” kata Agus dipetik Malaysiakini.
Bagi saya apa yang beliau sampaikan ialah ada salah erti terhadap apa yang dilakukan J-KOM berkenaan harga belanja dapur sebulan. Saya tidak mahu ulas lanjut. Cuma hanya menyatakan alangkah baiknya jika penjelasan itu mengiringi infografik dari awal.
Apa pun Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bersetuju infografik berkenaan “tidak sensitif dengan sentimen rakyat” dan katanya “angka yang dipaparkan betul tetapi rungutan adalah infografik itu ‘tone deaf’ (tidak sensitif) dan saya setuju.”
Lalu Fahmi berpendapat J-KOM perlu menilai semula sesetengah modus operandinya. Betul kena belajar daripada kesilapan. Namun dalam isu ini damage has been done. Tak kisahlah ada penjelasan. Bukan sahaja J-KOM terus dikecam, kerajaan juga kena hentam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.