`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 14, 2023

Kes Dea Maisarah, pihak berkuasa sedang siasat, kata Zaliha

 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memohon agar semua pihak menghormati privasi keluarga Dea Maisarah Bada susulan kematiannya.

PETALING JAYA: Kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kini sedang disiasat pihak berkuasa, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha di Twitter turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dea Maisarah Bada selain meminta agar semua pihak menghormati privasi keluarganya.

“Kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan saya memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati privasi keluarga (Dea Maisarah),” katanya.

Terdahulu, kisah Dea Maisarah mendapat perhatian selepas tular video di media sosial memaparkan bapanya, Bada Hussein menceritakan kronologi kematian anaknya pada 9 Julai lalu.

Bada berkata, selepas mendapat panggilan daripada isteri memaklumkan Dea Maisarah yang sedang demam dan selesema tiba-tiba mengalami sesak nafas, beliau membawa anaknya ke HTAR pada hari yang sama.

Katanya, anaknya terpaksa menunggu sehingga 45 minit untuk mendapatkan rawatan sebelum kadar oksigennya didapati menurun.

Bada turut mendakwa berlaku kecuaian di pihak hospital apabila kaki dan tangan anaknya diikat kerana dikatakan meronta-ronta ketika doktor cuba mengambil darahnya.

Susulan itu, anaknya menghembuskan nafas terakhir, katanya, dan kakitangan hospital menyatakan dalam laporan polis yang dibuat bahawa Dea Maisarah sudah meninggal dunia apabila dibawa ke hospital.

Semalam, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi dilaporkan berkata, pihak hospital juga kini sedang menyiasat kes kematian tersebut.

Menurutnya, pesakit yang pada ketika itu dalam keadaan lemah telah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun tidak dapat diselamatkan.

Tambahnya, pihak hospital sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

“Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik, HTAR,” katanya sambil memaklumkan pihak hospital akan berhubung dengan keluarga Dea Maisarah untuk perbincangan lebih lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.