Berkali-kali seorang personaliti televisyen pada suatu malam perlawanan mengingatkan penonton mengenai kehadiran seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan sebagai pengulas siaran langsung, yang digelarnya seorang legenda.
Ingatkan bekas pemain seangkatan Mokhtar Dahari yang dimaksudkannya tetapi apabila didapati bukan, hati ini meronta-ronta untuk menyelidiki latar belakangnya. Rupa-rupanya dia seorang bekas pemain negeri yang pernah memenangi Piala Malaysia empat kali dengan dua pasukan berbeza. Didalami biodatanya, dia juga tampil enam perlawanan dalam jersi pasukan kebangsaan.
“Hah… enam perlawanan antarabangsa saja sudah diberi taraf legenda?” berontak hati ini.
Kemudian ada pula seorang penganalisis pada malam itu, dalam kalangan bekas pemain yang pernah mewakili Malaysia 51 kali di antara 1999-2008 selain dua kali bergelar juara Piala Malaysia dan liga. Sedikit kelebihannya ialah dia turut memenangi anugerah Kasut Emas Liga Super. Lantas, dia juga diperkenalkan sebagai legenda.
Di antara mereka, ditampilkan pula seorang lagi bekas pemain yang berpengalaman bersama 12 pasukan berbeza sejak 2003. Cuma penampilannya bersama pasukan kebangsaan lebih sedikit dalam 81 perlawanan untuk mengatasi rakan penganalisis darpada segi status.
Dibandingkan dengan pengulas awal tadi yang tidak tampil di layar televisyen, kedua-dua penganalisis berkenaan pula dilihat seakan-akan mengiyakan apabila disapa sebagai legenda. Namun, untuk berlaku adil, bukan salah mereka berasakan diri demikian kerana pengacara pada malam itu yang sebenarnya tidak tahu membezakannya.
Andai ketiga-tiganya layak digelar legenda, apakah Mokhtar harus diangkat ke tahap dewa seperti sesetengah bintang bola sepak yang didewakan di beberapa negara Amerika Selatan?
Allahyarham, di samping mengepalai Selangor menjulang Piala Malaysia 10 kali dalam tempoh 14 tahun, turut tampil untuk pasukan kebangsaan dalam 142 perlawanan antarabangsa di antara 1972-1985 dengan menghasilkan 89 jaringan.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut mengiktiraf gol-golnya itu di tangga keempat sepanjang zaman selepas bintang Portugal, Cristiano Ronaldo; bekas penyerang Iran, Ali Daei; dan kapten Argentina, Lionel Messi; masing-masing dengan 115, 108, dan 90 gol – malah mengatasi Raja Bola, Pele, yang menghasilkan 77 gol antarabangsa.
Dimasyhurkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976, Penyerang Terbaik Asia 1976, pemenang pingat gangsa di Sukan Asia Tehran 1974, dan anggota Barisan Bintang-bintang Asia 1986, nah itulah seorang legenda dalam erti kata sebenar.
Namun, disebabkan kedangkalan dalam kalangan pengacara atau penulis hari ini, julukan legenda terlalu mudah diberi, dengan status bekas pemain saja ditakrifkan layak untuk menerimanya. Lebih memusykilkan, mereka ini sangat teruja digelar sedemikian rupa sedangkan patut berasa malu apabila disogok dengan status berkenaan.
Tetapi kerapnya ‘legenda’ dijadikan rujukan buat sebilangan bekas pemain bola sepak, membuat penonton terpedaya untuk menerimanya sedangkan ia tidak pun bertepatan mengikut penanda aras sepatutnya.
Memang tiada kayu pengukur khusus terhadap kelayakan seorang legenda dalam bola sepak tetapi sekadar beberapa pingat kejuaraan Piala Malaysia atau Liga Super tanpa sebarang status rasmi di peringkat antarabangsa, rasanya tidak layaklah digolong sebagai legenda.
Anak-anak muda yang bergelar pengulas atau penulis harus hanya memalukan pemain atau bekas pemain yang digelar legenda. Lebih daripada itu, mereka juga harus memalukan diri sendiri kerana memberikan jolokan itu secara sembrono.
Bermula dengan seorang atau dua yang mudah mengungkapkan legenda buat seseorang bekas pemain bola sepak, lama-kelamaan ia menjadi ikutan buat yang lain kerana tidak mahu tercicir daripada kelompok yang berminda serupa.
Apabila terlalu mudah dan terlalu kerap digunakan kepada mereka yang tidak layak, ia hanya menghakis nilai seorang legenda sebenar hingga gelaran itu tidak berharga lagi.
Apakah kriteria buat seorang legenda? Sebenarnya, tiada kriteria khusus untuk dijadikan rujukan atau panduan tetapi pencapaian Mokhtar harus menjadi penanda aras dan mereka yang kurang daripadanya tidak harus tergolong dalam kategori berkenaan.
Cukuplah yang lain-lain itu berbangga dengan gelaran bekas pemain kebangsaan kerana ia tidak akan menjadi kudis pada diri jika pun tidak dijulang sebagai legenda.
Enam perlawanan antarabangsa, itu pun termasuk kemenangan ke atas pasukan-pasukan seperti Singapura, Brunei dan Laos, umpamanya, sama-sekali tidak melayakkan seorang bekas pemain untuk dikhayalkan dengan puji-pujian. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.