`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, July 11, 2023

MCA dengan orang Melayu

 

Kalaulah DAP yang kata apa MCA kata tempoh hari dah tentu Muhyiddin Yassin, Hadi Awang, dan tak lupa Dr Mahathir Mohamad melompat dan melenting, sambil mendakwa DAP anti-Melayu dan kuasa sebenar dalam kerajaan.

Apa yang MCA kata? Parti itu melalui ketua Pemuda Nicole Wong membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan sistem kuota pelajar Bumiputera dalam pendidikan.

Dalam catatan di Facebook, Wong menyifatkan kenyataan Anwar sebagai langkah mundur yang menyebabkan masyarakat Cina berasa “tertipu” dan mendakwa universiti di Malaysia tidak dapat meningkatkan kedudukan di peringkat global disebabkan sistem kuota berkenaan.

Tidak perlulah kita jadi saintis politik untuk tahu kata-kata keras Pemuda MCA itu bertujuan memberitahu masyarakat Cina bahawa DAP tidak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Cina – bahawa DAP tidak ada kuasa dalam kerajaan untuk mansuh sistem kuota dan mesti patuh kepada parti Melayu iaitu Amanah, dan PKR yang berbilang kaum tetapi ramai Melayu.

Cantiknya politik. Orang Melayu diberitahu (oleh PN dan rakan) DAP berkuasa penuh dalam kerajaan. Manakala mengikut nada MCA, orang Cina diberitahu DAP tidak ada kuasa dalam kerajaan. Naratif berubah mengikut audience yang disasar. Dalam isu kuota pelajar Bumiputera ini, MCA menurut Wong “sama sekali tidak boleh bersetuju dengan kenyataan Anwar” walaupun ia sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Seperti dikatakan tadi Anwar mempertahankan sistem kuota. Apabila MCA kata mereka “tidak boleh sama sekali bersetuju dengan kenyataan Anwar” ia bererti MCA menolak sistem kuota pelajar Bumiputera. Jelas ia kecewa dengan tindakan Anwar kerana tidak mansuhkan sistem kuota itu. Ini mengikut pengertian saya.

Kata Zahid Hamidi, pengerusi BN, kenyataan Wong disebabkan “salah tafsir”. Beliau seterusnya menjelaskan dasar sistem kuota itu yang saya tidak bercadang ulangi di sini. Namun bagi saya langkah Zahid itu tidak perlu kerana kenyataan Anwar sudah cukup jelas.

Perhatikan apa kata perdana menteri semasa menjawab soalan seorang pelajar berhubung sistem kuota dan meritokrasi dalam sistem pendidikan negara pada program “Temu Anwar” di Kedah 8 Julai lalu:

“Program kuota ini saya setuju kekalkan tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak-anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih.”

Kesimpulannya walaupun sistem kuota dikekalkan ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan dan jika ada pelajar dalam kalangan anak-anak bukan Melayu dan Bumiputera yang cemerlang kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan.

Jika MCA tidak faham kenyataan itu, atau bak kata Zahid “salah tafsir”, itu pada hemat saya masalah MCA.

MCA umum tahu sudah kehilangan sokongan masyarakat Cina. Boleh dikatakan majoriti orang Cina menolak parti itu. Lihat sahaja prestasi MCA pada pilihan raya umum khususnya sejak 2008. Merosot dan terus merosot lalu dalam keadaan lemah sekarang. MCA kini terpaksa mencari dahan untuk berpaut agar tidak tenggelam. MCA sering terpaksa mengharapkan undi Melayu untuk menang. Banyak kawasan yang ditandinginya majoriti Melayu. Satu contoh terbaik kemenangan PRK Tanjung Piai pada 2019.

Orang Melayu dilihat boleh terima MCA berbanding DAP meskipun kedua-dua parti pernah kritik isu yang boleh dikatakan dekat di hati orang Melayu. Namun menurut saya serangan MCA ke atas hudud jauh lebih keras berbanding DAP, sebagai contoh.

Mungkin orang Melayu percaya MCA tidak ‘sejahat’ DAP? Mungkin orang Melayu percaya MCA boleh dikawal? (oleh Umno?). Mungkin sokongan Melayu berdasarkan sejarah yakni MCA menyertai Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman dahulu, dan apabila BN ditubuhkan pada 1973 ia setia bersama gabungan itu? Ini waktu orang Melayu sendiri rata-rata setia menyokong BN (baca: Umno). Sekarang tren sokongan Melayu pun sudah berubah.

Perlu juga diingat MCA pernah berura-ura mahu meninggalkan BN apabila gabungan pimpinan Najib Razak kalah PRU14 (yang menyaksikan MCA dituduh parti yang mahu abaikan kawan ketika susah). Tetapi ia masih kekal dalam BN. Umum tahu ia tidak ada pilihan selain bersama BN meskipun tidak secara langsung duduk dalam kerajaan. Baru-baru ini MCA tolak pelawaan sertai Perikatan Nasional. Adakah ini kerana kesetiaan tidak berbelah bahagi pada BN, atau merasakan kelangsungan politiknya lebih baik duduk dalam daripada luar? Terpulang masing-masing membuat interpretasi.

Jelas MCA sedang cuba mendapatkan sokongan Cina. Ada pemimpin muda diketengahkan tetapi tidak menyerlah. Seperti dikata tadi penentangannya terhadap program kuota pelajar Bumiputera sebahagian langkah memikat hati masyarakat Cina. Namun kata seorang kawan lama saya yang berbangsa Cina:

“MCA duduk dalam kerajaan lebih 60 tahun, sekarang baru nak jadi hero.”

Lihat komen pembaca di portal berita yang mengiringi laporan Pemuda MCA menentang sistem kuota dikekalkan. Rata-rata reaksi negatif malah kata-kata kesat dilemparkan pada MCA. Adalah dipercayai kebanyakan komen daripada masyarakat Cina.

MCA tahu tahap penerimaan masyarakat Cina terhadap mereka, lalu mengapa serang sistem kuota pelajar Bumiputera? Bukankah ini boleh membuat ramai (jika bukan semua) orang Melayu marah, yang selama ini sokong mereka? Atau MCA tahu hari-hari Melayu sokong mereka sudah berlalu. Tren sokongan Melayu berubah seperti dikatakan tadi, lantas MCA ‘alang-alang menyeluk pekasam…’?

Tetapi jika orang Cina tolak, orang Melayu pun tolak ke mana agaknya MCA nak pergi? Banyak susah hor. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.