Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan setiap Rabu dan hari ini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing akan melaporkan kepada perdana menteri dan anggota jemaah apa yang terjadi antaranya dengan imigresen di KLIA tempoh hari.
Apa yang rakyat biasa tahu setakat ini ialah apa yang kita baca di akhbar dan media sosial. Ringkasnya Tiong “menyerbu” kawasan tugas pegawai imigresen KLIA untuk “menyelamatkan” seorang pelancong warga China yang ditahan. Timbul tuduhan rasuah bukan sahaja berkait insiden itu tetapi juga “budaya rasuah” oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.
Dakwaan itu akan dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang akan membawa isu tersebut bersama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Kita tahu imigresen mempertahankan tindakan menahan pelancong warga China terbabit dan mendakwa apa yang dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang. Ada pihak menyelar Tiong kerana melihat tindakannya seolah menyalahguna kuasa menteri untuk mencampuri urusan imigresen, manakala seorang pegawai SPRM yang sudah bersara dilapor berkata Tiong sepatutnya ditahan, kerana menghalang pegawai menjalankan tugas.
Ada pula yang menyokong tindakan Tiong, kerana memerangi rasuah tanggungjawab semua, kata mereka.
Lalu saya meminjam persoalan yang diaju Sinar Harian beberapa hari lalu, “Siapa salah guna kuasa di KLIA?” Dalam semua hal ada yang bantah ada yang sokong perkara biasa, dan di negara ini perkara biasa juga apabila irama politik dialun apabila suatu isu tercetus.
Dalam insiden Tiong-imigresen ini, golongan anti-pemerintah cepat memperli kerajaan di media sosial dengan catatan seperti “ini kerajaan PH suka hati kami lah”. Ada yang kata Tiong ‘masuk’ kawasan Saifuddin. Kelakuan seperti ini perkara biasa.
Namun berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan, walaupun biasa kelihatan. Yang saya maksudkan sentimen perkauman dimasukkan dalam isu tertentu untuk memburukkan kerajaan. Dalam insiden Tiong-imigresen ini, mesej yang disebar berunsur Cina menganiaya Melayu; walaupun tidak dinyatakan secara terang mesej tersembunyi itu dapat dirasai.
Tidak ingin saya ulangi apa yang tertulis di media sosial. Secara ringkasnya, mesej yang cuba disebarkan ialah kerajaan tidak terdaya berbuat apa-apa untuk melindungi pegawai imigresen terbabit (orang Melayu) daripada seorang menteri (orang Cina).
Sebelum ini pun banyak tuduhan terhadap DAP. Walaupun Tiong bukan ahli DAP (dia pemimpin PDP dari Sarawak), mungkin golongan anti-pemerintah mengaitkan Tiong dengan DAP kerana beliau berketurunan Cina.
Tiong sememangnya “easy target” bagi golongan yang gemar memainkan isu Melayu-Cina. Pada 2020, semasa menjadi duta khas ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin, Tiong dituduh pihak tertentu sebagai sangat ‘kecinaan’ selepas mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdulah kerana tidak mendapatkan nasihat China dalam melawan wabak Covid-19.
Semasa China membuka sempadan tidak beberapa lama dahulu, Tiong yang cepat mengalu-alukan kedatangan pelancong dari sana dituduh ‘pro-China’, kerana ada pihak dalam negeri yang was-was dan berwaspada. Kesungguhan beliau mempromosikan bak kut teh sebagai warisan negara, baru-baru ini, turut dipertikaikan.
Tiong dilihat sebagai “gung ho” atau “kaki lawan”. Mungkin beliau “is a most misunderstood man”. Tetapi mengaitkan isu beliau dengan imigresen dengan perkauman adalah amat menyedihkan.
Sekarang kedengaran di media sosial bermacam cerita, daripada orang yang mendakwa apa yang mereka ceritakan itu adalah apa yang sebenarnya berlaku. Ada pula yang mengaku tahu siapa pelancong yang ditahan itu. Ada juga yang berkongsi pengalaman masing-masing berurusan dengan imigresen.
Apa yang terjadi mesti dilihat sebagai tuduhan ke atas segelintir pegawai. Jangan dituduh seluruh jabatan. Jangan ia dilihat dari kaca mata kaum. Setiap kaum ada orang baik dan orang jahat.
Kita tunggu apa kata Jemaah Menteri, apatah lagi siasatan sedang dijalankan oleh polis, SPRM, dan imigresen. Henti kaitkan peristiwa ini dengan soal Melayu-Cina. Tetapi saya tahu harapan saya kemungkinan besar tinggal harapan. Sentiman perkauman cukup senang ditiup untuk mencapai matlamat politik. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.