`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 3, 2023

PM kecewa hanya 1 mesin pengimbas kastam di KLIA berfungsi

 

Anwar Ibrahim berkata kerosakan mesin pengimbas kastam di KLIA tidak seharusnya berlaku. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewa apabila lawatan mengejutnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam mendapati hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas kastam beroperasi.

Anwar berkata beliau difahamkan mesin itu telah rosak sejak tahun lalu dan seharusnya digantikan segera memandangkan keperluan mendesak di pintu masuk negara seperti lapangan terbang.

Menurutnya, kerajaan boleh berbelanja menggantikan mesin pengimbas rosak terbabit namun tidak mendapat maklumat daripada pegawai agensi terbabit.

“Kebetulan (saya) menteri kewangan, kastam bawah tanggungjawab saya. Takkan nak tunggu menteri turun baru nak tahu rosak,” katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri.

Pada Julai 2020, bekas ketua pengarah kastam Abdul Latif Abdul Kadir berkata agensi itu akan menambah 20 mesin pengimbas berkualiti tinggi di pintu masuk negara termasuk lapangan terbang bagi menggantikan mesin lama dalam usaha mengekang penyeludupan dadah secara kurier.

Menurutnya, kos pembeliannya itu membabitkan perbelanjaan kira-kira RM200 juta dan diterima penghujung 2020.

Semalam, Anwar mengadakan lawatan mengejut di KLIA untuk meninjau operasi imigresen di pintu masuk negara itu.

Lawatan itu dipercayai susulan kekecohan di KLIA baru-baru ini membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang mengakui individu ditularkan bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

Tiong mendakwa wujudnya budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

Sementara itu, Anwar berkata sebahagian besar anggota imigresen bertugas dengan baik namun kecewa masih ada sekelompok kecil masih mengamalkan cara lama.

“Hanya beberapa kelompok kecil yang masih melakukan dengan ‘cara lama’ yang perlu diambil tindakan segera dan keras.

“(Jika) berlaku akan jejaskan kerjaya kita, imej penjawat awam dan negara,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.