`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 12, 2023

Selangor, KL, dan Sanusi

 

Rasanya semua sudah maklum tempoh hari Sanusi Md Nor, orang kuat PAS yang merupakan menteri besar Kedah (‘interim’ jika ambil kira Dewan Undangan Negeri sudah bubar) berkata Kedah boleh lebih maju daripada Selangor jika ada Kuala Lumpur.

Kata beliau, Selangor hanyalah bertuah (dalam lain perkataan nasib baik?) kerana kebetulan berada dekat dengan Kuala Lumpur yang menjadi pusat pembangunan dan perniagaan. “Segala pusat ada di Kuala Lumpur,” katanya lagi dengan gaya lazimnya. Lawak sinis. Typical Sanusi.

Menurut Sanusi, kalau Kuala Lumpur ada di Kedah beliau yakin kemajuan Selangor akan berada jauh di belakang Kedah pada waktu ini dan kemajuan Kedah yang ada Kuala Lumpur didalamnya akan melonjak.

Lalu nak diapakan? Pindahkan Kuala Lumpur ke Kedah? Sekadar gurau. Saya faham maksud beliau ialah Kedah akan dapat spillover kehebatan Kuala Lumpur jika bandaraya itu berdekatan.

Apabila mengguna formula yang sama, ada pihak bertanya mengapa tidak dimanfaatkan kehebatan Pulau Pinang yang dekat dengan Kedah? Mengapa Sanusi memilih untuk ‘berperang’? Come to think of it mungkin beliau mahu lebih daripada memanfaatkan kejayaan Pulau Pinang. Bukan sekadar mahu tempias. Lantas mendakwa Pulau Pinang milik Kedah? Itu cerita lain.

Cerita Selangor tumpang tui pembangunan Kuala Lumpur adalah cara Sanusi menyangkal hujah Selangor negeri termaju kerana ditadbir Pakatan Harapan. Maklumlah PRN menjelang tiba, di Kedah dan di Selangor. Oleh itu kenalah nafi dan sangkal.

Saya tidak bercadang mengulas apa yang Sanusi katakan mengenai Selangor menumpang tuah Kuala Lumpur. Yang ingin saya perkatakan ialah pengorbanan Selangor melepaskan Kuala Lumpur untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Kuala Lumpur kita tahu asalnya ibu negeri Selangor. Namun pada masa yang sama Kuala Lumpur memegang status ibu negara. Memang unik satu bandar jadi ibu negeri dan ibu negara dalam sebuah negara. Bagi apa yang dikatakan langkah melancarkan pentadbiran di Kuala Lumpur sebagai ibu negara, Barisan Nasional mencadangkan Kuala Lumpur dikeluarkan dari Selangor. Ada juga pendapat cadangan itu ada kena mengena dengan kegagalan kerajaan Perikatan mendapat kemenangan majoriti 2/3 di Selangor pada pilihan raya umum 1969. Ertinya soal politik. Tidak dapat dipastikan tetapi apa pun itu bukan isunya dalam konteks artikel ini.

Hakikatnya Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan dimeterai. Upacara menandatangani perjanjian yang disaksikan Raja-raja Melayu berlangsung di Istana Negara pada 1 Februari 1974. Kerajaan Selangor diwakili Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah manakala kerajaan persekutuan diwakili Yang di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah. Ketika itu perdana menteri ialah Razak Hussein dan Harun Idris pula menteri besar Selangor.

Menerusi siaran langsung di televisyen, rakyat dapat merasakan perasaan Sultan Selangor ketika itu. Bukan mudah untuk melepaskan suatu kawasan yang berada dalam pemerintahan Istana Selangor sejak turun temurun. Apatah lagi ibu negeri yang maju yang dekat dihati baginda dan setiap rakyat Selangor .

Namun baginda lepaskan juga Kuala Lumpur demi negara. Itu pengorbanan amat besar Sultan Selangor. Rakyat Selangor juga sebak tetapi merestui langkah berkenaan demi kesetiaan kepada Sultan dan the big picture .

Di rumah saya, abang ipar saya menitis air mata ketika menyaksikan upacara pemeteraian perjanjian itu menerusi televisyen. Saya pasti bukan beliau seorang yang terharu. Ada ramai lagi. Sehingga sekarang orang lama di Kuala Lumpur masih merasakan pertalian dengan Selangor khususnya penduduk Kampung Baru di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang dianugerah oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 1900.

Dengan jadinya Kuala Lumpur sebuah wilayah persekutuan, Selangor kehilangan hasil yang selama ini dijana oleh Kuala Lumpur. Benar kerajaan persekutuan membayar pampasan yang besar. Tetapi perlu diingat pampasan itu diurus dengan baik untuk kebaikan Selangor.

Ketika itu Selangor terpaksa mencari ibu negeri untuk menggantikan Kuala Lumpur. Maka dibangunkan from scratch kawasan yang dikenali Batu Tiga. Lahirlah Shah Alam. Banyak yang perlu telah dilakukan. Maklumlah kawasan kosong dijadikan ibu negeri. Pelbagai projek infrastruktur dijalankan maka wujudlah kawasan industri, pejabat, perniagaan, dan kediaman. Banyak juga usaha dilaksanakan untuk membangun bukan sahaja Shah Alam tetapi negeri keseluruhannya. Tidak dinafikan pampasan kerajaan persekutuan banyak membantu.

Siapa yang membangunkan Selangor setelah kehilangan Kuala Lumpur? Sejak 1974? Tidak boleh dinafikan kerajaan BN walaupun dengan berlalunya masa timbul kelemahan dan kepincangan. Namun credit must be given when credit is due.

Kemudian Selangor dibangunkan pula oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang walaupun tidak diketuai tetapi dianggotai PAS, parti Sanusi sendiri. Maksudnya PAS juga ada menyumbang. Malangnya PAS memainkan peranan besar yang mengakibatkan Pakatan Rakyat dibubarkan tetapi kerajaan kekal. Sejak itu sehingga sekarang Pakatan Harapan mentadbir dan membangunkan Selangor.

Yang mahu saya sampaikan ialah manakala Selangor dapat kenikmatan daripada Kuala Lumpur seperti dikatakan Sanusi, Selangor juga sendirian membangun selepas kehilangan Kuala Lumpur. Ertinya hidup tanpa KL dan diurus baik kerajaan dulu dan sekarang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.