`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 10, 2024

PAS Kelantan perlu akui kelemahan, bukan kelirukan rakyat, kata Mujahid

 

Mujahid Yusof Rawa berkata PAS harus perbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti.

PETALING JAYA: PAS harus akur keputusan mahkamah membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) Kelantan melambangkan kelemahan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana meluluskan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.

Dalam kenyataan, Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata PAS bukan sahaja tidak mengakui kelemahan pentadbirannya menggubal undang-undang jenayah syariah di Kelantan, malah mengelirukan rakyat dengan dakwaan ‘mahkamah syariah dicabar’.

“Rakyat Kelantan perlu persoalkan siapa Ahli-ahli DUN yang meluluskan EKJS ini dan siapa speaker Dewan Kelantan yang mengendalikan sidang DUN ketika itu dan siapa penasihat undang-undang yang dirujuk waktu itu.

“Secara moral perundangannya, pembatalan 16 peruntukan dalam EKJS oleh Mahkamah Persekutuan adalah kegagalan fungsi Adun dan speaker sekali gus mencalarkan imej DUN dari segi ia tidak menghormati bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepadanya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Sidang sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Sejurus keputusan diumumkan, pelbagai pihak memberi maklum balas antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang melabel keputusan itu sebagai “Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara.

Bagaimanapun, Mujahid menjelaskan, untuk menggubal undang-undang syariah, DUN tertakluk kepada Jadual 9 Perlembagaan yang menyenaraikan kuasa Parlimen dan DUN, serta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

“Hal demikian sepatutnya dalam pengetahuan semua Adun PAS di DUN Kelantan khususnya speaker Dewan yang berperanan memastikan setiap enakmen tidak melampaui kuasa yang ada padanya,” katanya.

“Pembatalan 16 peruntukan dalam EKJS adalah kegagalan Adun PAS di Kelantan untuk meneliti semua peruntukan yang dipertikaikan.”

Justeru, Mujahid menambah PAS sepatutnya menyusuli keputusan mahkamah dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti.

“Ada yang mengatakan undang-undang Allah dibatalkan atas kehendak golongan liberal. Ini satu pembohongan yang boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian yang menjejaskan keharmonian negara dan tidak menghormati Perlembagaan.”

Bekas menteri hal ehwal agama itu juga menjelaskan hukuman bagi kesalahan jenayah yang dilakukan sudah termaktub dalam undang-undang persekutuan.

“Bagaimana boleh dikatakan kononnya keputusan ini untuk menghapuskan undang-undang Islam?” katanya.

Katanya lagi, mengelakkan dua hukuman dikenakan kepada pesalah bagi jenayah sama dilihatnya sebagai menghormati prinsip keadilan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.