`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 10, 2024

Rayuan batal bubar persatuan bola sepak Perak diterima

 

Pada Jun tahun lepas, Hannah Yeoh membenarkan pembubaran Pafa ditangguhkan dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menyelesaikan isu persatuan berkenaan. (Gambar Bernama)

IPOH: Kemelut menghimpit Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (Pafa) susulan pembatalan dan pembubaran persatuan itu Jun lepas dinoktahkan selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan untuk mengekalkan statusnya sebagai entiti.

Presidennya, Mohd Azhar Jamaluddin berkata, perkara itu diputuskan KBS Jumaat lepas dengan mengekalkan pendaftaran Pafa bawah Seksyen 21(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) selepas pihaknya mengemukakan rayuan pada 2 Mei tahun lepas.

“Alhamdulillah satu berita gembira kita terima apabila Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meluluskan rayuan menerusi surat PJS (Pesuruhjaya Sukan Malaysia) kepada pihak kami dan perkara itu muktamad,” katanya dalam kenyataan.

Pada 7 Mac 2022, PAFA digantung selama enam bulan berikutan isu kewujudan dua kumpulan masing-masing mendakwa sebagai jawatankuasa sah badan induk persatuan berusia lebih 100 tahun itu.

Kerajaan negeri campur tangan dengan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Khairudin Abu Hanipah mengadakan pertemuan dengan Yeoh bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan mengikut perlembagaan PJS agar Pafa tidak dibubar

Pada Jun tahun lepas, Hannah Yeoh membenarkan pembubaran Pafa ditangguhkan dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak menyelesaikan isu persatuan berkenaan mengikut Subseksyen 21 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997.

Jawatankuasa yang diketuai bekas presiden Pafa Abdul Puhat Mat Nayan itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 22 Dis lepas dan sekali lagi menyaksikan Mohd Azhar dipilih sebagai presiden manakala Sham Mat Sahat sebagai timbalannya.

Khairudin pada 18 Jan lepas memaklumkan kepada PJS laporan hasil keputusan EGM itu untuk dipanjangkan kepada Yeoh bagi tindakan sewajarnya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mohd Azhar berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yeoh atas kebijaksanaan menteri itu menyelesaikan kemelut kepimpinan Pafa.

“Saya juga akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pafa alam masa terdekat untuk beri tumpuan kepada hal ehwal tadbir urus yang perlu diselesaikan setelah digantung pada Mac 2022.

“Kita juga akan buat penstrukturan semula untuk mengembalikan imej dan kredibiliti Pafa serta memeriahkan semula arena sukan bola sepak di negeri ini khasnya,” katanya.

Pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Khairudin, termasuk jawatankuasa bertindak yang berfungsi sebagai moderator bagi proses rayuan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.