`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 22, 2024

PAS Selangor nafi mahu gerak solo hadapi PRU16

 

PAS Selangor yakin memimpin negeri itu pada PRU16 dan menjadikannya lebih berdaya saing, dengan pendekatan “PAS for All”.

PETALING JAYA: PAS Selangor menafikan mereka mahu bergerak solo di negeri itu pada PRU16 menerusi projek “PAS for All”.

Ketua Penerangannya Zurk Ahmad sebaliknya menjelaskan jenama itu sebenarnya hanya mahu untuk menarik sokongan rakyat terutama bukan Melayu Islam mendekati PAS yang selama ini berdepan pelbagai stigma.

“Jenama ‘PAS for all’ bukan bermaksud kembali menyendiri dan solo.

“Slogan ini juga untuk menggambarkan perjuangan PAS tidak bersifat eksklusif tetapi perjuangan inklusif. Sebab itu PAS bersama Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, PAS Selangor menyatakan keyakinan memimpin negeri itu pada PRU16 sekali gus menjadikannya lebih berdaya saing, dengan pendekatan “PAS for All” merangkumi semua kaum dan agama.

PAS for All, slogan yang popular ketika bekas mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat masih hidup dan parti itu menjadi sebahagian Pakatan Rakyat bersama DAP serta PKR, menyaksikannya berjaya menguasai lima negeri pada PRU 2008.

Dalam maklum balasnya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Abdullah berkata “bakul” ekonomi rakyat harus menjadi agenda utama PN berbanding mencipta naratif baharu menjelang PRU16, mengulas projek PAS Selangor itu.

Adun Kuang itu turut mengingatkan pencapaian PN di negeri itu sebelum ini adalah atas “tiket kebersamaan” dan tiada parti mampu menang dengan sendiri jika bertanding solo.

Rafiq bagaimanapun menghormati pendirian sekutunya sambil berpandangan keputusan menampilkan naratif baharu untuk kempen PN di Selangor perlu diputuskan pimpinan pusat melibatkan presiden-presiden parti.

Pada PRN Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) menang 22 DUN sekali gus menafikan penguasaan dua pertiga gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.

Presiden PAS Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-69, Oktober tahun lalu, mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.