`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 12, 2024

Penghuni Flat Sri Sabah bawah unit terbakar keluar rumah sementara

 

Penghuni Flat Sri Sabah di bawah lima unit rumah terbakar bimbang struktur rumah terjejas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penghuni tingkat 16 yang terletak di bawah lima unit rumah terbakar di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, bertindak mengosongkan rumah buat sementara kerana bimbang struktur rumah terjejas ekoran kejadian kebakaran malam tadi.

Seorang penduduk, M Kaausalya, 37, berkata walaupun rumahnya tidak rosak, namun bau asap yang terlalu kuat selain tiada bekalan air dan elektrik, menyebabkan dia bersama ibunya 63 tahun mengambil keputusan untuk menumpang sementara di rumah saudara di Cheras.

“Semasa kejadian saya bersama ibu baru sahaja selesai makan malam dan sedang berehat menonton televisyen, tiba-tiba ada jiran mengetuk pintu semua rumah di aras 16 memaklumkan rumah yang terletak di tingkat atas sedang terbakar,” katanya.

Dia segera membawa ibunya keluar dan bergegas ke lif untuk turun ke lobi.

Kaausalya bersyukur kerana walaupun dalam keadaan kelam-kabut, semua penduduk memberikan kerjasama dan membenarkan orang kurang upaya, uzur atau keluarga bersama bayi terlebih dahulu menggunakan kemudahan lif, manakala mereka yang muda menggunakan tangga.

“Semasa menunggu lif itu, saya boleh nampak dengan jelas api marak dari balkoni atas dan hingga sekarang, saya boleh rasa bumbung rumah saya panas selain bau asap yang ‘melekat’ di sofa dan langsir rumah,” katanya.

Seorang lagi penghuni tingkat 16, A Steven, 42, berkata kebakaran itu menyebabkan saluran paip di rumahnya cair dan bocor selain turut mengakibatkan siling rosak.

Dia yang bekerja sebagai pengurus bangunan mendakwa setakat ini tiada arahan perpindahan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menyebabkan mereka tidak pasti bila boleh kembali ke kediaman masing-masing.

“Saya minta kerajaan bantu kami yang terkesan dengan cepat kerana masing-masing mempunyai urusan dan cuti Tahun Baharu Cina juga hampir berakhir,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menetap di flat berkenaan.

Beliau tinggal bersama lima lagi ahli keluarga di kediaman tersebut, kini menumpang sementara di rumah ibu saudaranya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, kerana bimbang keselamatan mereka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.