`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 9, 2024

Cadangan zon penampan di sempadan Thailand sudah dibentang ke KDN

 

Cadangan pembinaan zon penampan di sempadan Malaysia-Thailand sudah dibentang kepada KDN, kata polis. (Gambar Bernama)

PASIR MAS: Cadangan pembinaan zon penampan di sepanjang 99 kilometer sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan di Kelantan sudah dibentang kepada Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata langkah itu amat penting kerana semua agensi penguatkuasa yang mengawal sempadan berdepan masalah penyeludupan.

“Sekiranya zon penampan itu dibina di sempadan Malaysia-Thailand, berkemungkinan kegiatan penyeludupan dapat dikawal dengan baik… ini yang terbaik bagi mengekang sempadan kita daripada digunakan sebagai kawasan penyeludupan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pertandingan Piala Ketua Polis Kelantan.

Mengulas isu jeti haram di kawasan sempadan yang sudah tidak digunakan lagi, Zaki berkata polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengadakan pertemuan serta berbincang mengenai perkara itu.

“Jeti haram ini ada yang dibina di atas tanah persendirian, jika ia dibina di tanah milik kerajaan, kita akan berbincang dengan PBT untuk mengambil kaedah terbaik bagi mengelakkan ia digunakan bagi kegiatan penyeludupan.

“Jadi kita mengharapkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan sempadan agar tidak membina jeti bagi melakukan kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.