`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 24, 2024

Cuepacs akur keputusan kerajaan tiada bonus raya

 

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata kesatuan akur dengan keputusan kerajaan berhubung bantuan khas Aidilfitri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akur dengan keputusan kerajaan bahawa tiada bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri tahun ini.

Setiausaha Agung Abdul Rahman Mohd Nordin berkata pihaknya tidak akan merayu kerana memahami situasi kewangan kerajaan ketika ini.

“Kita terima. Takkan kita nak menentang juga. Kita akur sebab dia kata tak lama lagi nak naik gaji,” katanya kepada FMT.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan ketiadaan bantuan khas kewangan Aidilfitri disebabkan kerajaan baru sahaja meluluskan insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam berjumlah RM2,000 pada 28 Feb lalu.

Pada 15 Mac lalu, Cuepacs dilapor menggesa kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sempena Aidilfitri.

Presiden Adnan Mat merayu supaya pentadbiran Anwar mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Rahman berkata, kerajaan negeri mampu memberikan bantuan khas Aidilfitri kerana mempunyai peruntukan lebih serta jumlah kakitangan yang tidak ramai.

“Kenaikan gaji ni menggunakan kos yang tinggi. Kadangkala kena akur dengan keputusan kerajaan. Kita tak ada mohon (bantuan khas Aidilfitri) dalam masa terdekat. Takkan kita nak menentang. Kita kena jaga keharmonian,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.