`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 24, 2024

Kerajaan hormati, tetapi mahu tahu alasan Sarawak tangguh daftar Padu

 

Fadillah Yusof berkata percaya mesti ada ‘sebab’ kerajaan Sarawak bertindak menangguhkan pendaftar Padu. (Gambar Bernama)

KUCHING: Kerajaan persekutuan menghormati keputusan Sarawak menangguhkan pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi Air, bagaimanapun berkata setakat ini, kerajaan Sarawak belum memberikan sebab atau alasan penangguhan itu.

“Sebagai kerajaan persekutuan, kita hormati apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri Sarawak, tetapi kita nak memahami apakah punca dan sebab, mengapa sekarang ini ada keputusan untuk memberhentikan pendaftaran Padu.

“Saya tak pasti apa puncanya, saya belum dapat penjelasan…mesti ada sebab mengapa kerajaan negeri berbuat demikian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Jamaie di Masjid Al-Ghazali.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu depan bagi membincangkan isu berkaitan pendaftaran Padu.

Beliau berkata ia berikutan wujudnya arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini Padu di Sarawak ditangguhkan.

Fadillah pula berkata, tiada halangan untuk individu di Sarawak mendaftar dalam sistem Padu, namun beliau percaya rakyat Bumi Kenyalang akan mematuhi arahan yang dikeluarkan di peringkat negeri.

“Saya kira rakyat Sarawak akan mengikuti arahan di peringkat negeri tetapi apa-apa pun, negeri ini merekodkan antara pendaftar Padu yang paling tinggi,” katanya.

Setakat semalam, lebih 7.36 juta rakyat Malaysia membabitkan 35% penduduk negara ini sudah mengemas kini maklumat dalam sistem Padu sejak ia dilancarkan pada 2 Jan lalu. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.