`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 7, 2024

Kalaulah Taylor Swift berkonsert di Malaysia

 

Pada 22 Feb lalu saya menulis artikel berjudul “Taylor Swift dan politik”. Jika masih ingat saya mengakhiri artikel itu begini:

“Di Malaysia elemen Swift tidak ada dalam politik kita. Kalau ada pun bolehkah ia bantu kemenangan parti politik dan politikus kita? Atau membawa padah dengan mengambil kira perkara yang lazim dijadikan isu politik?”. Itu bab pertama persoalan yang saya timbulkan.

Bab kedua saya tulis begini: “Tetapi perlu juga tanya mahukah Swift dikaitkan dengan politik kita.” Bab ini saya rasa jawabannya “tidak mahu” kerana Swift tidak pernah nyatakan secara terbuka keinginan dikaitkan dengan mana-mana parti atau ahli politik termasuk Joe Biden yang mahu mempertahankan jawatan pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), 5 Nov ini .

Sekarang berbalik ke bab pertama yakni “di Malaysia elemen Swift tidak ada dalam politik kita.” Nampaknya sudah ada elemen Swift dibawa ke gelanggang politik kita khususnya apabila tersebar luas berita keuntungan diraih Singapura dengan adanya siri enam konsert Swift di republik itu. Dan dakwaan betapa ruginya Malaysia terlepas peluang keemasan untuk buat duit .

Lihat dahulu apa yang ditulis kolumnis FMT Frankie D’Cruz tiga hari lalu. Menurut beliau, Swift ada dalam radar kerajaan malah dalam genggaman Malaysia pada 2022 setelah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan venue AS untuk menjadikan Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil sebagai hab sukan dan hiburan langsung.

Kerajaan ketika itu ialah pimpinan Ismail Sabri Yaakob. Tetapi menurut penulisan D’Cruz perjanjian itu tidak dijadikan kelebihan apabila Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri selepas PRU15 dan peranan syarikat AS itu dikurangkan kepada perunding untuk mengoptimumkan Stadium Bukit Jalil.

Adakah bermakna dengan diturunkan status kepada “perunding” syarikat berkenaan tidak dapat memanfaatkan keadaan untuk membawa Swift ke Malaysia? Tetapi bukankah tugasnya ialah untuk “mengoptimumkan Stadium Bukit jalil? Pada pengetahuan saya mengoptimum maknanya memanfaatkan sebaik mungkin.

Apapun hakikatnya Singapura bertindak pantas untuk mendapat atau lebih tepat membeli hak eksklusif konsert Swift. Ertinya di rantau ini penyanyi itu mengadakan persembahan hanya di Singapura. Perlu diakui ‘Singapore acted swiftly to get Swift’. Kalau pemerintah Singapura pantas, kerajaan kita pula lembab. Betul?

Bagaimanapun semalam FMT melaporkan firma penasihat sukan Sportswork Group Sdn Bhd berkata konsert Swift tidak pernah ditawarkan kepada kerajaan Malaysia bawah kontrak bersama dengan Perbadanan Stadium Malaysia dan ASM Global yang berpangkalan di AS.

“Sportswork ingin menekankan kontrak bersama yang ditandatangani pada awal 2023 bertujuan menyokong pengurusan venue keseluruhan,” kata firma penasihat sukan berkenaan.

Firma itu berkata kontrak ditandatangani awal 2023 manakala D’Cruz menyebut 2022. Adakah kedua-dua bercakap mengenai kontrak yang sama atau kontrak lain saya tidak tahu.

Yang saya tahu menurut D’Cruz, menteri belia dan sukan dalam kabinet Ismail iaitu Ahmad Faizal Azumu mendakwa telah diberi lampu hijau untuk mengadakan rundingan dengan promoter konsert Swift dan juga pihak AEG yakni syarikat gabungan ASA Global.

Apabila perubahan kerajaan selepas PRU15, Faizal mendakwa beliau mahu melakukan “handover” kepada penggantinya Hannah Yeoh dan bercakap mengenai bidang tugas AEG dan mengenai artis terkemuka di bawah kendalian mereka.

“Saya mahu menekankan kepada Yeoh kita tidak harus terlepas peluang seperti Taylor Swift dan nama besar lain tetapi saya tidak dapat berjumpa beliau. Oleh itu saya andaikan beliau tidak berminat,” Faizal beritahu D’Cruz. Bagi saya ini membawa elemen Swift dalam kancah politik kita. Secara halus menyalahkan Yeoh dan kerajaan perpaduan.

Jika Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu cakap berbunga, timbalan pengerusi biro undang undang dan perlembagaan partinya Sasha Lyna Abdul Latif terang-terangan menggunakan Swift sebagai modal politik menghentam kerajaan.

Beliau dilapor NST berkata Anwar dan Yeoh mesti menjawab kegagalan Malaysia mendapatkan konsert Swift di negara ini. Menurut beliau, Anwar dan Yeoh mesti menjelaskan bagaimana peluang keemasan terlepas.

Katanya impak ekonomi persembahan Swift bukan sesuatu yang dilebih-lebihkan atau overstated dan boleh diibaratkan satu “gold rush”.

Ingin saya tegaskan keuntungan berlebihan yang diraih Singapura tidak akan tercapai jika Swift tidak mengadakan konsert secara eksklusif di republik itu.

Ertinya jika konsert diadakan di bandaraya lain di Asia Tenggara keuntungan Singapura tidak sebesar yang diperolehi sekarang kerana peminat Swift di negara Asean lain tidak perlu pergi ke Singapura.

Seperti dikata tadi Singapura akan untung juga tetapi tidaklah sebesar diperoleh sekarang.

Dan kata Sasha lagi, Swift bukan sahaja mendapat tumpuan kerana kehebatan muziknya tetapi beliau juga memberi pengaruh positif.

Beliau turut berkata Indonesia negara yang rakyatnya majoriti Islam turut mahu Swift mengadakan persembahan mengambil kira “universal appeal” artis berkenaan.

Saya lihat kata-kata itu menarik kerana PAS rakan Bersatu dalam Perikatan Nasional tidak pernah gagal dalam membantah konsert terutama artis antarabangsa diadakan di Malaysia apa lagi artis wanita.

Saya boleh bayangkan jika Swift mengadakan konsert di Malaysia PAS akan menuduh kerajaan ini menggalakkan maksiat, kemungkaran, pergaulan bebas, budaya kuning yang akan membawa murka Allah. Bersatu akan anguk tanda setuju.

Mungkin juga menyampuk dengan suara lantang. Swift tidak akan dilihat sebagai artis yang berpengaruh.

Pakaian beliau akan dilihat bagai menjolok mata tidak sesuai dengan budaya majoriti rakyat negara ini. Gambar Swift berciuman dengan teman lelakinya di depan khalayak akan dipergunakan untuk menunjukkan kepada orang Melayu khususnya betapa “longgarnya moral” si penyanyi ini.

Oleh itu apabila Bersatu menyanjung tinggi Swift sekarang hanya kerana kerajaan perpaduan “terlepas” peluang saya ibarat itu suatu hipokrasi. Saya guna hipokrit untuk lembutkan istilah munafik. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.