`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 7, 2024

Kita jaga kita di panggung wayang

 

Apabila saya menyebutkan jihad di pawagam, yang saya maksudkan bukan sama sekali filem seperti Mat Kilau, Panglima Awang, Syukur 21 atau Imam. Filem-filem di atas dapat dikatakan filem Islami tetapi terlalu ketara, sehingga serasa disuap-paksakan.

Yang saya maksudkan ialah filem buatan Iran di bawah genre defa’e moghaddas atau sinima-yi difa-i muqaddas. Memang selalunya kalau disebut filem Iran, penggemar panggung akan membayangkan produk Ashghar Farhadi, yang pernah memenangi Oscar sebanyak dua kali menerusi A Separation dan The Salesman, juga meraih anugerah di Cannes dengan Hero. Akan tetapi Farhadi sudah tidak penting lagi setelah berhijrah ke Barat. Seniman selalu berisiko membunuh diri apabila melakukan hijrah lokasi, dan
menyalin identiti. Apatah lagi jika dia kini terhegeh memegahkan Los Angeles.

Baru-baru ini, Kedutaan Iran di Kuala Lumpur menganjurkan Pesta Filem Iran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Semuanya percuma untuk ditonton. Saya berkesempatan menonton empat daripada enam filem ditayangkan. Ini adalah untuk memahami secara jelas apa yang dimaksudkan dengan defa’-e moghaddas atau sinima-yi difa-i muqaddas ini.

Filem genre ini sebetulnya memaparkan masalah atau ekor daripada masalah yang timbul ekoran perang Iran-Iraq antara tahun 1980 hingga 1988. Ia kurang diketahui oleh penggemar panggung di luar Iran, tetapi genre ini sesungguhnya telah menghasilkan lebih 300 filem dengan nama-nama pengarah seperti Ebrahim Hatamikia, Mohsen Makhmalbaf, Majid Majidi dan Kamal Tabrizi. Nama Hatamikia dapat dikatakan yang paling menonjol dan paling prolifik.

Penggemar panggung hanya menyedari kehadiran genre ini pada tahun 2007 ekoran sebuah pesta filem yang digubah oleh Pedram Khosronejad di New York dan Barbican Centre di London, diikuti kajian oleh beliau dengan judul Iranian Holy Defence Cinema: Religion, Martyrdom and National Identity pada tahun 2012.

Filem bawah kategori sinima-yi difa-i muqaddas asalnya adalah sebuah alat publisiti mengenai penglibatan masyarakat awam dalam perang Iran-Iraq yang dibelakangnya adalah kuasa Barat dan Israel. Akan tetapi, sesudah perang berakhir ia kekal menjalar tetapi kali ini bertujuan untuk melindungi kebudayaan, jati diri dan kebangsaan Parsi atau Iran daripada serangan luar. Filem sinima-yi difa-i muqaddas diberi peranan untuk menjadi perisai daripada penaklukan atau penjajahan budaya. Ashghar Farhadi, yang memenangi Oscar dua kali adalah di luar lingkungan ini, memberikan kita kecurigaan bahawa pengiktirafan yang beliau terima adalah untuk mengimbangi suara dan tenaga sinima-yi difa-i muqaddas.

Perlahan-lahan filem sinima-yi difa-i muqaddas tumbuh sebagai bentuk tersendiri dan mutakhir ini ikut memuatkan persoalan atau tema cinemay-e ejtema’i (sinema sosial) yang mana menonjolkan masalah dihadapi orang awam Iran. Kritikan politiknya tajam. Karyawan bahkan tidak teragak-agak menjadikan penguasa atau ulama sebagai sasaran. Di dalam filem ini juara adalah nyawa yang tidak dipedulikan atau dinamai mazlooman (mereka yang tertindas). Isu diskriminasi migran dan imigran (selalunya dari Afghanistan); nasib wanita malang (termasuk pekerja seks) dan anak-anak tanpa warganegara; atau hiba gelandangan disorot. Latar cerita tidak lagi tertumpu di Tehran tetapi sudah menular ke daerah papa yang jauh, hingga ke sempadan Pakistan, atau Iraq. Apa yang membikin hati makin tertarik ialah filem-filem ini sesudah beberapa dekad sudah terbentuk memiliki puitika tersendiri.

Pesta Filem Iran yang dianjurkan baru-baru ini di ibu kota ingin membantu kefahaman penggemar panggung di Malaysia tentang genre pesat ini. Saya menonton filem Henas (2022) karya Hossein Darabi; No Prior Appointment (2022) arahan Behrouz Shoaybi; BodyGuard (2016) oleh Ebrahim Hatamikia; dan Today (2014) kerjaan Reza Mirkarimi. Semua filem ini tergolong dalam genre sinima-yi difa-i muqaddas dan pernah memenangi anugerah filem di luar Iran, yang menunjukkan mutu seninya tidak berkurang meskipun kadang dipandang sebagai sinema propaganda.

Henas arahan Hossein Darabi, No Prior Appointment karya Behrouz Shoaybi dan BodyGuard oleh Hatamikia misalnya memahamkan kita kepada apa yang dimaksudkan dengan perlindungan identiti budaya Iran. Di dalam Henas, sebuah filem daripada kisah benar; hayat akhir saintis nuklear as-Syahid Dariush Rezainejad dipaparkan dari kaca mata isterinya. Filem ini ingin menegaskan hak-hak saintifik Iran untuk memiliki ilmu pengetahuan tentang nuklear, sesuatu yang dinafikan oleh Barat untuk umat Timur/Islam. Hidup Dariush sentiasa dihendap malah isterinya merasai intaian daripada monitor komputer meja suaminya. Tentu sahaja penghujung filem ini boleh diduga iaitu Dariush dibunuh oleh ejen Mossad, Israel; tetapi ciri sinema Iran dengan skor muzik yang khas, naratif yang tidak memuncak dan sebab akibat tanpa klimaks bergema masih di situ. Filem bergerak perlahan tetapi terisi dalam benak dan jiwa bersipongang meskipun sudah keluar dari pawagam. Dalam suasana anti-Israel dan Barat ini, filem Henas ini memang patut ditonton.

Inilah juga kesan yang dirasai setelah menonton BodyGuard oleh Ebrahim Hatamikia. Ia menunjukkan trauma, dilema dan juga gelora rasa seorang pengawal pasukan elit yang ditugaskan melindungi ahli-ahli politik termasuk naib presiden Iran. Penugasan baru di mana beliau kini diminta mengawal seorang saintis nuklear yang muda dan keras kepala membawa kepada pertembungan emosi tidak diduga. Sekali lagi hak Iran memiliki ilmu nuklear dipasakkan. Memang ada adegan bertempur dengan musuh, tetapi tiada ekspresi kosong ala-ala karektor dalam Mat Kilau.

No Prior Appointment arahan Behrouz Shoaybi (pelakon yang membawa watak Dariush Rezainejad dalam Henas) pula mengisahkan bagaimana seorang doktor pakar berjaya di Jerman pulang ke Iran untuk menyelesaikan isu pusaka arwah ayahnya yang ditinggalkan sejak berusia 5 tahun. Tiada memori mengenai Iran selama 30 tahun, Yasmin kini dengan anak yang istimewa cuba menghubungkan dirinya kembali dengan tanah tumpah darah. Tanpa perlu menggurui dan memaksa, Yasmin yang sudah bertukar menjadi wanita Eropah menemukan kembali kepercayaan dan identiti kebangsaannya. Tentu ia dipenuhi gelora dan sendu drama tetapi cukup perasa. Memang ada adegan masjid, tetapi tiada dialog bahasa Arab mengada-ngada.

Today karya Reza Mirkarimi lebih menarik. Meraih bermacam anugerah filem di luar Iran, ia mengisahkan pilihan yang ada di tangan seorang pemandu teksi tua yang tiba-tiba ditumpangi seorang wanita misteri sedang sarat mengandung menuju ke hospital bersalin yang diketahui selalu melindungi wanita-wanita tertindas. Plot menjadi lebih rancu apabila pekerja perubatan menyangkakan lelaki tua ini adalah suami wanita yang didera itu, manakala ada yang menyangkanya sebagai ayah tidak guna. Pilihan di tangan pemandu ini mudah, meninggalkan sahaja penumpang itu kerana mereka memang tiada kaitan; atau menunggu kerana itulah nurani akhlak yang diberitahu.

Filem-filem defa’-e moghaddas atau sinima-yi difa-i muqaddas ini wajar ditonton audien yang serasa Islami, atau oleh karyawan Islamis kita. Hendak menjadi Islam di panggung boleh tetapi biarlah dengan ilmu. Tidak payah dengkikan pembikin filem liberalis. Karyawan kita yang sudah gigih Islami ini boleh belajar daripada Iran. Malu apa. Boleh sahaja mereka ke Tehran dan bertemu karyawan-karyawan ini. Duduk berbengkel sebulan dua sebelum pulang. Buat apa sangat dihadap Barat. Selepas apa yang menimpa Gaza, siapa pun yang waras sudah berhenti memandang pengiktirafan sebelah sana dunia.

Filem-filem defa’-e moghaddas atau sinima-yi difa-i muqaddas ini adalah maksud sebenar kita jaga kita; dalam ruang budaya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.