`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 4, 2024

Kod etika wartawan relevan, serlah tanggungjawab sebagai suara rakyat

 

Shabery Cheek berkata, pelancaran semula Kod Etika Wartawan yang dikemas kini jelas memperlihatkan keperluan dinamik dunia kewartawanan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kod Etika Wartawan dikemas kini yang dilancarkan bulan lepas dilihat relevan dalam sumbangan petugas media untuk pembangunan negara, kata Shabery Cheek.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, dengan prinsip mendukung Perlembagaan Persekutuan, kod etika itu juga dianggap seimbang dalam memupuk keharmonian dan perpaduan nasional.

“Kod etika ini memperihalkan tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat sesuai dengan zamannya dan cabaran teknologi dalam kerjaya,” katanya kepada FMT.

“Dengan prinsip teras mendukung Perlembagaan, kod etika ini dilihat lebih seimbang serta relevan dalam sumbangan wartawan kepada proses membina negara serta memupuk keharmonian serta perpaduan nasional.”

Mengalu-alukan pelancaran semula kod etika yang pertama kali dikemas kini sejak 1989 itu, Shabery berkata, ia jelas memperlihatkan keperluan dinamik dunia kewartawanan.

“Saya positif melihat kod etika kewartawanan ini sebagai asas mula kepada pemantapan kerjaya wartawan tika berdepan dengan perubahan pesat teknologi di semua platform media.

“Dengan adanya kod etika ini, ia menuntut pemain industri untuk melaksanakan tugas secara profesional dan beretika,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan bahawa komuniti wartawan akan terus memberikan sumbangan besar kepada negara selepas pelancaran semula kod etika itu.

Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu itu dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 20 Feb lepas.

Kod itu menggarap lapan etika utama, termasuk wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta hendaklah telus dan berintegriti.

Wartawan turut digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan maklumat dan pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi.

Selain itu, wartawan juga dikehendaki menghormati privasi dan kerahsiaan sumber; memahami undang-undang, serta akta dan polisi berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.