`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 6, 2024

KPWKM cadang bantuan geran pelancaran naik kepada RM5,000

 

Nancy Shukri berkata, cadangan kenaikan bantuan geran pelancaran itu akan dilaksanakan, jika diluluskan Kementerian Kewangan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang menambah jumlah pemberian bantuan geran pelancaran dalam Skim Bantuan Kebajikan daripada RM2,700 kepada RM5,000.

Menterinya, Nancy Shukri berkata, usaha KPWKM itu untuk membantu golongan memerlukan bagi memperoleh modal perniagaan dalam usaha mereka keluar daripada belenggu kemiskinan, malah kadar geran itu wajar dinaikkan bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

“Kami sudah bawa dalam mesyuarat pengurusan untuk meningkatkan lagi (geran pelancaran itu) daripada RM2,700 kepada RM5,000. Kalau MoF (Kementerian Kewangan) setuju, alhamdulillah kami boleh laksanakannya…itu yang kami hendak lakukan,” katanya kepada Bernama.

Bantuan geran pelancaran dengan kadar maksimum RM2,700 sekali bayar itu bertujuan memperkasakan ekonomi kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu atau keluarga.

Mengenai pertimbangan KPWKM menaikkan setiap elaun bantuan di bawah JKM berikutan cabaran ekonomi semasa, Nancy berkata, perkara itu tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana melibatkan proses belanjawan negara.

“Namun, jika ada perubahan terhadap klien (penerima bantuan) kami itu, seperti baru-baru ini saya di Kuching, Sarawak, klien terima RM300 dan apabila jadi OKU (orang kurang upaya) yang langsung tidak dapat buat apa-apa, kami sarankan tambah elaunnya kepada RM500. Perkara sebegini dapat kami lakukan.

“…tetapi insya Allah kami akan sentiasa cuba ketengahkan perkara ini kerana ia permintaan popular dalam kalangan rakyat…saya percaya kami tidak akan mengetepikan permintaan sebegini.”

Beliau berkata, pegawai KPWKM diminta mempercepatkan proses permohonan bantuan golongan berkelayakan sebagai usaha kementerian itu membantu mereka dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Mengenai kemuncak sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 pada Jumaat ini, katanya, pelbagai program bagi memperkasakan wanita, khasnya dari sudut ekonomi disediakan.

“Program ini juga melibatkan pelbagai pihak berkaitan yang akan memberikan penerangan serta membuka peluang kepada wanita lebih kepada sudut ekonomi dan pada masa sama, KPWKM juga akan beri penerangan mengenai undang-undang untuk keselamatan wanita.”

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 bertemakan “Wanita Dijulang, Negara Gemilang” akan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya dan disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.