`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 15, 2024

Lagi main politik di bulan mulia

 

Sebenarnya seawal Mac Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sudah berkata tidak ada keperluan kantin sekolah ditutup pada bulan puasa. Dan apabila sehari sebelum Ramadan beliau mengulangi (kali ini dengan jelas) kantin sekolah akan beroperasi sepanjang Ramadan saya jangka tidak akan ada isu seperti apa yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu.

Rupanya saya silap.Soal kantin sekolah dibuka pada bulan puasa ini dijadikan juga isu. Oleh PAS yang menyifatkan langkah itu “keterlaluan”. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ahmad Yahya berkata arahan menteri pendidikan “seolah olah tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik”.

Cetus polemik? Pelik. Bagi saya apabila Ahmad berkata apa yang beliau kata mengenai operasi kantin sekolah beliaulah yang mencetuskan polemik kerana sebelum itu tiada siapa yang bercakap hal ini.

Juga pelik Ahmad memilih untuk bersuara pada hari pertama Ramadan walhal menteri sudah mengumumkan 20 Mac lalu. Kalau tidak setuju dan tuduh arahan menteri “keterlaluan” beliau mempunyai satu bulan untuk menyatakan bantahan. Namun seperti dikata tadi beliau membangkang apabila umat islam sudah mula berpuasa.Mengapa tunggu lama-lama?

Ada beberapa tindakan Fadhlina pada masa lalu yang saya tidak setuju malah bantah. Tetapi kali ini khususnya soal kantin sekolah saya setuju dengan beliau kerana sebab yang diberi munasabah dan betul. Kata beliau “kantin mesti dibuka tapi mesti ada dari segi pendidikan berkaitan kesedaran dan rasa hormat khususnya sekolah yang ada pelajar bukan Islam, proses pendidikan untuk memberi kesedaran dan ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain.”

Tetapi bagi Ahmad itu tidak menghormati Ramadan. Mungkin beliau melihat arahan si menteri hanya mencakupi hormat akan hak orang bukan Islam dan bukan rasa hormat kepada umat Islam yang berpuasa.

Mungkin apa yang beliau maksudkan ialah apabila kantin dibuka seperti biasa pelajar bukan Islam akan makan minum secara terbuka dan ini pada pandangannya “tidak hormat Ramadan dan pelajar Islam”.

Pelajar bukan Islam kata beliau boleh datang ke sekolah dengan bekal makanan dan “makan di ruangan yang dibenarkan” tanpa perlu arahan kantin dibuka. Apa atau dimanakah “ruangan yang dibenarkan yang beliau maksudkan itu?”

Adakah beliau mencadangkan ruang tertentudiadakan? Tidakkah ini bermakna wujud pula “kantin mini”? Atau adakah beliau lupa pada 2013 pelajar bukan islam terpaksa makan di tandas sekolah? Ada juga kes pelajar bukan Islam makan waktu rehat di bilik stor. Pelik jika beliau lupa kerana ini isu besar waktu itu .

Seperkara lagi, jika kantin tidak dibuka di mana pelajar perempuan Islam yang tidak boleh berpuasa mahu makan? Agama membenarkan mereka tidak puasa.Lalu keperluan mereka mesti diambil kira. Mungkin kantin diubah sesuai untuk tujuan ini tetapi hakikatnya kantin beroperasi sepanjang Ramadan.

Sememangnya soal orang tidak hormat orang berpuasa kerap dijadikan modal konon demi mempertahankan kesucian agama. Kata seorang kawan melalui Facebook “kalau nak minta kantin tutup di bulan puasa maksudnya iman umat Islam di Malaysia amat lemah.” Ertinya tak tahan tengok orang lain makan minum di depan mereka.

Seorang lagi kawan menghantar teks di kumpulan WhatsApp yang saya anggotai tetapi tidak memberitahu sama ada ia merujuk kejadian tertentu atau bercakap secara am. Mesejnya berbunyi: Daripada Anas bin Malik RA berkata maksudnya “kami selalu bermusafir bersama sama Nabi SAW dan orang yang berpuasa tidak mengkritik mereka yang berpuasa dan orangyang berpuasa tidak pula mengkritik yang berpuasa – Riwayat Bukhari.”

Jujur saya akui saya kerdil soal agama lalu tidak pasti sama ada istilah “mengkritik” tepat atau digunakan seperti yang disebut. Namun saya faham akan ertinya.

Kata Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan sikap PAS dalam isu kantin sekolah menunjukkan parti itu serta Perikatan Nasional “bukanlah jawapan yang betul untuk politik negara.”

Menurut beliau “sekali lagi PAS dan PN membuktikan pendirian politik mereka tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama dan mereka lebih cenderung mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan masyarakat bukan memupuk perpaduan”.

Saya setuju, Akan tetapi Syahredzan ialah anggota DAP. Oleh itu PAS boleh menyifatkan kata-kata beliau sesuatu yang sememangnya dijangka datang dari parti lawan.

Namun oleh kerana PAS sebuah parti politik pada hemat saya ada unsur politik melalui kenyataan ketua Dewan Ulamanya . Maksud saya untuk score some political points demi sokongan orang Melayu di peti undi kelak.

Mungkin mesej Ahmad boleh dibaca bagi tuduhan kerajaan tidak sensitif terhadap perasaan orang Melayu Islam. Itu ringkasnya.

Saya tahu pasti ada orang Melayu yang setuju dengan pendapat Ahmad. Namun jika dilihat reaksi di platform media sosial dan terutama ruang komen di portal berita pendirian Ahmad disanggah rata-rata oleh orang Melayu sendiri. Malah ada melemparkan kata-kata kesat ke atas beliau yang tidak manis diulangi disini.

Kesimpulannya jika PAS menyarankan sokongan orang Melayu dalam isu ini ia tersalah langkah. Dan sekadar mengesahkan pandangan (atau tuduhan?) PAS main politik sempit. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.