Ketika isu kurma dari Israel hangat diperkatakan, Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid tampil mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak memberi tumpuan kepada potensi penghasilan kurma buatan tempatan.
Menurutnya dia teringat kepada artikel di akhbar tempatan dua tahun lalu yang melaporkan pokok kurma yang ditanam di negeri Kelantan begitu subur dan berbuah lebat.
“Saya teringat tentang laporan ini, di tengah kekecohan mengenai kurma yang diimport dari Israel.
“Malaysia mengimport kurma sebanyak RM267.8 juta pada tahun 2023. Sebagai negara yang mempunyai populasi umat Islam seramai 64 peratus, dan juga sebuah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC); saya harus membangkitkan persoalan tentang perancangan kerajaan tentang industri kurma tanah air, kalau pun ia boleh dipanggil sebuah industri.
“Kenapa tidak? Kurma, sebagai makanan sunnah yang menjadi tumpuan di bulan Ramadan yang mulia ini, seharusnya diusahakan sebagai sebuah industri pertanian secara besar-besaran, paling tidak pun untuk memenuhi keperluan tempatan.
“Agar kita tidak lagi perlu bergantung kepada kurma import dari negara Arab selain keluar dari keraguan memakan kurma buatan Israel secara tidak sedar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beberapa hari lalu media tempatan melaporkan kemunculan produk kurma dari Israel di pasaran tempatan menjelang Ramadan.
Ini menimbulkan persoalan bagaimana produk tersebut dibawa masuk ke Malaysia memandangkan negara ini tidak menjalinkan hubungan dagangan dengan Israel.
Terdahulu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata kementerian itu akan terus memantau produk kurma dari Israel di pasaran tempatan.
Armizan juga memakluman satu serbuan telah dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 12 Mac lalu di sebuah gudang penyimpanan makanan di Klang, Selangor.
Semalam media melaporkan pihak kastam menemukan produk dengan label organis Jumboo Medjool Dates' dipercayai dibawa masuk secara pukal dan dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan.
Sementara itu Syerleena berkata kerajaan seharusnya mencari jalan untuk mempergiat perusahaan kurma tempatan dan turut berusaha untuk mengeksportnya ke negara-negara Islam di seluruh dunia.
“Ia tentu sekali akan memberikan hasil limpah termasuk peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Justeru itu saya ingin bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk membangunkan industri kurma tempatan?
“Tentu sekali daripada hanya memboikot barangan luar, kita seharusnya juga berusaha untuk mempromosikan produk pertanian tempatan kerana ia akan juga memanfaatkan pekerja-pekerja tempatan sambil membuka ruang dan peluang pekerjaan yang lebih banyak,” jelasnya. - Mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.