`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, March 17, 2024

Muda silap tolak jelajah rakyat bersama PN, kata penganalisis

 

Muda mengumumkan menjadi blok ketiga dalam dan luar Parlimen, beberapa hari selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan rancangan komponen itu mengadakan jelajah ke seluruh negara bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Muda perlu bekerjasama dengan gabungan politik utama untuk memastikan kelangsungannya, kata penganalisis yang menyifatkan tindakan tidak membabitkan Ahli Parlimennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam jelajah anjuran Perikatan Nasional (PN) sebagai silap.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata keputusan PRU dan PRN lalu membuktikan parti berusia kurang tiga tahun itu sukar bersaing dengan parti telah lama bertapak dalam arena politik negara.

Syed Saddiq yang mempertahankan Parlimen Muar pada PRU15 disokong Pakatan Harapan (PH) begitu juga dengan pemangkunya Presidennya Amira Aisya Abdul Aziz di kerusi DUN Puteri Wangsa semasa PRN Johor.

Pada PRN di enam negeri Ogos tahun lalu pula, Muda yang bergerak solo kalah di semua kerusi ditandingi.

“Sejarah membuktikan mereka tiada akar umbi kuat dan sukar untuk menarik pengundi tanpa ada gabungan parti lebih kuat.

“Sebab itu menolak ‘jemputan’ PN satu kesilapan oleh Muda, jangka hayat mereka mungkin boleh dipanjangkan jika mereka bersama dalam jelajah akan datang,” kata Azmi kepada FMT.

Jumaat lalu, Muda mengumumkan menjadi blok ketiga dalam dan luar Parlimen, beberapa hari selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan rancangan komponen itu mengadakan jelajah penerangan isu semasa ke seluruh negara bersama Syed Saddiq, selepas Aidilfitri.

Terdahulu, Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi menafikan pembabitan parti itu dalam jelajah berkenaan manakala Amira mendakwa terkejut dengan pengumuman Muhyiddin terbabit.

Azmi berpendapat kekurangan sokongan akar umbi dan sokongan parti utama mungkin menjejaskan hasrat Muda menjadi kuasa ketiga yang turut berkait dengan kelangsungannya.

“PH mungkin boleh diletak tepi…hanya ada PN untuk bekerjasama,” katanya merujuk kepada tindakan Syed Saddiq keluar dari blok kerajaan September tahun lalu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut berpendapat sukar untuk Muda menjadi kuasa ketiga kerana tidak membawa gelombang rakyat seperti parti-parti lain.

“Muda bukanlah satu parti boleh menghasil satu gelombang, dipimpin oleh mereka yang asasnya orang muda yang memperjuangkan prinsip sama seperti PH.

“Menang PRU15 dan PRN Johor pun kerana diberi ruang oleh PH bertanding di kerusi selamat, bila tanding sendiri kalah seperti PRN,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.