`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, March 16, 2024

PAS ada hak bantah konsert tak selari syariat Islam, kata Pemuda

 

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata parti itu tidak mempunyai masalah berhubung penganjuran konsert asalkan mengikut garis panduan ditetapkan Islam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS akan terus menyuarakan bantahan terhadap konsert yang tidak menepati syariat Islam walaupun ada amaran daripada penganjur untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berbuat demikian.

Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata keputusan Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) untuk mengambil tindakan undang-undang adalah hak mereka, tetapi PAS juga mempunyai kuasa menyuarakan sesuatu perkara.

“Kita akan terus menyuarakan apa yang Islam suruh, itu yang kita suarakan. Itulah yang menjadi asasnya. Bila sesiapa yang memegang apa yang tuhan suruh dia akan pegang benda itulah. Larangan itu tetap ada kalau PAS tak ada pun,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, PAS tidak mempunyai sebarang masalah berhubung penganjuran konsert asalkan mengikut garis panduan ditetapkan Islam.

“(Seperti) di Kelantan nak buat konsert tak ada masalah. Konsert lain pun kita sertai, (iaitu) konsert yang memenuhi garis panduan Islam, konsert tutup aurat, lagu-lagu yang tak anjur maksiat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Alife, Rizal Kamal, yang memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membantah acara dan cuba mengganggu konsert diadakan di negara ini.

Persatuan itu berkata, pihaknya menghadapi tentangan daripada kumpulan politik dan agama yang menggesa pembatalan konsert menampilkan artis dikaitkan dengan kegiatan dianggap “berdosa” atau menyokong komuniti tertentu.

Sementara itu, Afnan berkata PAS sedia menerima jemputan menganggotai Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) bagi memberi pandangan berkaitan penganjuran konsert artis antarabangsa.

Ia susulan kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat pada 13 Mac lalu, kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan menjemput pembangkang menganggotai jawatankuasa itu.

“Kalau kerajaan bersedia, kita pun bersedia memberi pandangan jika dijemput masuk ke dalam mesyuarat…(bagaimanapun) mesti selari dengan Islam,” kata Afnan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.