`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 13, 2024

Pertimbang risiko kewangan anjur Sukan Komanwel, ahli ekonomi beri amaran

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Walaupun penganjuran Sukan Komanwel 2026 mungkin menghasilkan peluang ekonomi yang ketara bagi Malaysia, namun pakar ekonomi menyuarakan amaran tentang risiko kewangan berkaitan temasya sukan terbabit.

Negeri Victoria di Australia menarik diri sebagai tuan rumah selepas menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan kos, yang boleh mencecah kepada lebih AUD7 bilion (RM21.7 bilion) daripada anggaran AUD2.6 bilion.

Kuala Lumpur, satu daripada enam pembida asal untuk acara sukan itu kini disebut-sebut sebagai pesaing dan Jemaah Menteri dijangka membuat keputusan tidak lama lagi sama ada ia akan dianjurkan buat kali kedua selepas 1998.

Afzanizam Rashid, ketua ekonomi di Bank Muamalat Malaysia Bhd, berkata temasya itu boleh menjanjikan pertumbuhan ekonomi dan memainkan potensi pembangunan infrastruktur, terutamanya dalam menaik taraf kemudahan sedia ada.

Walaupun beliau mencadangkan bahawa kempen promosi yang dirancang dengan baik boleh “menimbulkan rasa teruja” dan menarik pelancong, namun menurut Afzanizam kerajaan perlu mengambil berat tentang cara ia menguruskan perbelanjaannya, terutamanya risiko peningkatan kos.

“Mereka juga perlu sedar bahawa baki lebihan akaun semasa kita menyusut kepada 1.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023,” katanya merujuk kepada baki terendah dalam 26 tahun.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengambil kira impak yang mungkin ada pada temasya berkenaan dengan imbangan pembayaran, terutamanya ke atas import barangan mahal seperti mesin dan peralatan, serta bahan binaan dan buruh asing.”

Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata £100 juta (RM600 juta) yang ditawarkan Persekutuan Sukan Komanwel untuk mana-mana bakal tuan rumah akan menyuntik perbelanjaan bersamaan 0.03% daripada KDNK Malaysia.

Beliau juga menekankan kesan berganda kukuh yang akan diperolehi oleh perbelanjaan tidak langsung dalam industri seperti hospitaliti, makanan dan minuman, pengangkutan, logistik, hiburan dan pelancongan.

Yeah berkata walaupun acara itu boleh “merugikan dari segi kewangan”, namun faedah ekonomi langsung dan tidak langsung daripada perbelanjaan, kemudahan sukan yang dinaik taraf serta keterlihatan global dan prospek pelancongan, boleh meningkatkan daya maju ekonominya.

“Kos dan anggaran faedah ekonomi yang sewajarnya, bersama-sama dengan jaminan perbelanjaan yang cekap dan pengurusan yang baik akan diperlukan untuk menilai sepenuhnya implikasi kewangan,” katanya.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata cara terbaik untuk mengukur impak ekonomi acara sukan tersebut adalah dengan melihat edisi sebelumnya, seperti yang terakhir di Birmingham, England, yang memanfaatkan pelaburan swasta dan awam serta menggunakan kemudahan sedia ada, termasuk dari Sukan Olimpik London 2012.

Williams berkata jumlah impak jangka pendek temasya Sukan 2022 itu dianggarkan berjumlah £870 juta (RM5.2 bilion) atau jumlah bersih £765 juta (RM4.6 bilion), dengan impak jangka panjang terkumpul – terutamanya dari segi pekerjaan dan pelaburan infrastruktur.

“Malaysia tidak mempunyai kemudahan dan perlu membina dan mengubah suai dengan cepat. Sikap ‘kerajaan sepatutnya’ akan menyekat pelaburan swasta. Pembaziran, ketirisan dan rasuah akan menjadi risiko yang jelas,” katanya.

“Bagi Victoria, kos dianggarkan AUD7 bilion dan ia akan sama di Malaysia. Anggaran pulangan daripada contoh Birmingham tidak akan menampungya dan malangnya, isu pengurusan dan tadbir urus di Malaysia tidak akan menjadikan idea ini berjaya. ”

Walaupun temasya sukan edisi 2022 mencatat kejayaan yang memberangsangkan, Majlis Bandaraya Birmingham telah diisytiharkan muflis pada September lalu hanya setahun selepas menganjurkan kejohanan pelbagai sukan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.