`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 14, 2024

Peruntukan lebih besar diperlukan tangani penyakit luruhan daun getah

 

Kerajaan telah memperuntukkan RM35 juta yang disalurkan kepada LGM untuk melaksanakan kawalan di 33,000 hektar tanaman pokok getah terjangkit LDP bagi 2023 hingga 2024. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan perlu menimbangkan penyaluran peruntukan lebih besar dalam usaha menangani isu penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP) bagi pokok getah dengan lebih efektif, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, kerajaan memberikan peruntukan RM35 juta yang disalurkan kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi melaksanakan kawalan di 33,000 hektar kawasan terjangkit bagi 2023 hingga 2024.

Setakat hari ini, katanya, 80,000 hektar pokok getah terkesan dengan penyakit LDP, dan berdasarkan dapatan awal LGM, kaedah kawalan yang dilaksanakan berkesan bagi mengekang penularan penyakit itu.

Johari Ghani.

“Namun dengan kos kawalan bernilai RM1,100 bagi setiap hektar, saya harap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan untuk memberi peruntukan yang lebih besar supaya dapat menangani isu penyakit LDP dengan efektif,” katanya.

LGM melaksanakan kawalan bagi keluasan tanaman 33,000 hektar, iaitu pegangan kebun tersusun seperti rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda); Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra); ladang getah swasta di Semenanjung Malaysia; dan pekebun kecil di Sabah dan Sarawak.

Baki 47,000 hektar bagi pekebun kecil di Semenanjung Malaysia pula akan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Mengenai keberhasilan teknologi gas stimulan dalam meningkatkan hasil getah, Johari berkata, keberhasilan teknologi ini terbukti bagi pokok getah muda.

“Namun LGM masih dalam proses melaksanakan kajian keberhasilan gas stimulan bagi pokok getah yang sudah tua (lebih 12 tahun) dan sedang mencari kawasan tanaman yang sesuai untuk menjalankan kajian ini,” katanya.

Beliau berkata, industri getah tempatan memerlukan 1.4 juta tan metrik getah asli, dan tahun lepas Malaysia hanya menghasilkan 346,000 tan metrik, manakala 2022 sebanyak 377,000 tan metrik.

Katanya, untuk mengatasi kekurangan ini, pengeluar produk getah seperti sarung tangan, tayar dan lain-lain perlu mengimport getah asli sebanyak 950,320 tan metrik getah asli bernilai RM5.4 bilion.

Sementara itu, Johari berkata, KPK sedang meneliti model konsolidisasi atau penyatuan pekebun-pekebun kecil mengikut kluster (500-1,000 hektar setiap kluster) bagi meningkatkan kapasiti, mengurangkan kos, melibatkan ketiga-tiga tahap dalam rantaian nilai industri getah (huluan, midstream dan hiliran) dan menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.

“Cadangan kluster ini akan dilaksanakan di tiga negeri yang mempunyai tumpuan kawasan tidak bertoreh lebih tinggi, iaitu Kelantan (34,621 hektar), Kedah (24,058 hektar) dan Pahang (19,481 hektar),” tambahnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.