Puasa kali ini cukup mencabar. Kampung tempat saya tinggal sekarang di Lubok China tidak dicurahi hujan sejak sebelum datangnya Ramadan lagi. Cuaca sangat panas dan cukup berbahang. Rumput di laman sudah kering. Lopak-lopak sudah merekah. Daun-daun pokok getah kekuningan. Separuh waktu puasa saya habiskan dengan hanya berkurung di dalam bilik bertemankan alat pendingin hawa. Tak tahan! Kerja-kerja siang yang dirancang banyak tergendala. Nak buat apa pun tak larat. Nak potong rumput, nak mengemas laman tak terdaya. Tali air dan sungai semakin kering dan tohor. Ada juga sekali dua awan mendung datang. Kami pun berdoa dan berharap agar hujan turun tetapi bila angin bertiup kuat, awan mendung pun beralih ke tempat lain. Hujan tak jadi. Kami hampa. Sepanjang Ramadan kali ini kami melepek dan bila sampai waktu berbuka yang terlarat oleh kami hanya minum air. Makan pun tak berapa lalu. Keletihan begini sedikit-sebanyak mempengaruhi juga kedatangan orang ramai ke pasar Ramadan untuk membeli juadah. Hendak ke masjid solat jemaah isyak dan tarawih pun dah tak daya. Kami juga begitu. Diam sahajalah di rumah sambil melayan media sosial sebab di media sosial ada banyak benda nak disibukkan dan digaduhkan.
Sejak hari pertama Ramadan lagi dah kecoh dengan isu perlu atau tidak kantin sekolah dibuka. Sedih betul saya, tak selesai lagi rupanya masalah ini sungguhpun ketika kita sudah sampai tahun 2024. Dulu ketika bersekolah rendah, seingat saya kantin sekolah tetap dibuka. Meskipun murid bukan Islam tidak ramai tetapi ia dibuka untuk murid Islam juga sebab kanak-kanak bawah 10 tahun ada dan mereka masih belum diwajibkan berpuasa. Yang berpuasa memang puasalah, tetapi kanak-kanak yang tak, boleh makan.
Saya teringat masa kanak-kanak dahulu waktu darjah 1 dan darjah 2 saya tidak berpuasa. Tak tahu kenapa orang tua saya tidak menekankan agar saya mesti berpuasa ketika itu. Saya sedar mereka bangkit bersahur tapi saya tak dipanggil. Ada juga kawan-kawan sebaya saya yang diberi upah oleh bapa mereka mengikut hari mereka berpuasa. Saya tak. Saya teringin juga jadi macam keluarga kawan saya. Barangkali abah mahu saya menjalani ibadat itu dengan kesedaran sendiri tanpa disuruh-suruh. Sejak saya menyatakan kepada orang tua saya yang saya mahu berpuasa, ketika itu usia sudah sembilan tahun, barulah abah akan mengejutkan saya sama ketika dia bersahur. Maka saya pun berpuasalah kerana saya sudah bersedia dan rela tanpa perlu disogok upah, tanpa perlu dipaksa. Barangkali itu cara abah mendidik keluarga kami. Untuk keluarga lain mungkin cara mereka betul, upah adalah galakan. Kami, keluarga yang bajetnya ketat, tak ada upah. Beribadat Lillahi Taala.
Dulu, di Kuala Lumpur, pertengahan 80-an sudah saya dengar tentang pasar Ramadan. Sepupu yang tinggal di Kampung Pandan bercerita tentang kemeriahan pasar Ramadan seperti di Jalan Raja Alang. Di pekan Bentong yang kecil waktu itu belum ada pasar Ramadan lagi. Kalau ada peniaga pun, mereka berniaga juadah berbuka di atas mereka sendiri bukan anjuran mana-mana organisasi atau pertubuhan seperti kebanyakan pasar Ramadan hari ini. Kadang-kadang saya kayuh basikal ke pekan beli cucur udang atau kuih-muih untuk berbuka. Amalan berbahagi juadah berbuka puasa sesama jiran masih ada. Dalam amalan berjiran begini saya memang tabik sama abah. Dialah pemula “trend” beri juadah hari raya kepada jiran-jiran cina di berek C yang letaknya bertentangan dengan kami di berek B. Lemang, rendang, biskut raya akan abah hantar ke jiran-jiran ini. Kemudian jiran-jiran ini akan membalas pula apabila tiba Gong Xi Fa Cai. Di situlah saya kenal angpau dan limau mandarin. Sayugia dinyatakan sehingga hari ini abah masih buat begitu.
Petang kelmarin saya bersama isteri pergi ke pasar Ramadan, saja-saja merayau mencari apa yang patut.
“Hari-hari memasak letih juga. Kita belilah makanan hari ni,” kata isteri saya.
Di pasar Ramadan, memang tak dinafikan harga kuih-muih, gulai dan lauk sudah mahal. Rasanya? Memanglah tidak sesedap dahulu. Kita tolaklah peniaga yang memang masak tak sedap seperti yang disindir di medsos beberapa hari sebelum kedatangan Ramadan, “tak reti masak tak apa asalkan jangan berniaga di pasar Ramadan”. Memang tak sedaplah tetapi ada peniaga yang kita sudah kenal lama dan hari-hari biasa mereka memang berniaga makanan, hasil mereka memang baik tetapi mengapa masakan di rumah jauh lebih sedap? Isteri saya selalu menegaskan bahawa kuih-kuih tradisional dan gulai masakan Melayu memang mahal bahan-bahannya dan untuk menjualnya dengan rasa yang sebenar, kita tak sanggup nak letak harga. Sebab itulah kita dapati masakan kedai gulainya kurang “umphh” walaupun harganya begitu. Mesti anda pelik kenapa ada restoran masakan Melayu bertaraf 3-5 bintang di Kuala Lumpur yang sedap makanannya tetapi harganya tak usah cakaplah, memang mahal.
“Ingat tak beberapa tahun dulu kita jual gulai rendang itik ikut tempahan?” tanya isteri saya. Saya mengangguk. Waktu saya mula-mula berhenti guru dulu kami buat bisnes ini. Kebanyakan yang beli gulai rendang itik kami hanyalah dalam kalangan kawan-kawan sahaja. Mereka tahu yang masakan isteri saya sedap dan dibuat dengan betul-betul.
“Dulu kita jual rendang itik seekor pun dah dekat RM80. Seekor itik salai dah nak RM40. Santan sekilo RM6-RM8, segala rencah dan kos penghantaran lagi, masa tu okey lagi. Sekarang berapa kita nak jual? Itik berapa seekor? Santan dah berapa ringgit sekilo? Siapa nak beli kalau dah cecah RM100? Itu satu hal, silap-silap kita pula yang rugi. Takkanlah kita nak kurangkan santan dan kurangkan rencah? Tak ‘standardlah’ kualiti kita, nanti dikutuk pula oleh pelanggan tetap kita.”
Benar kata isteri saya. Bahan-bahan dalam masakan dan kuih-muih tradisional Melayu mahal harganya. Nak cari daun pisang, daun kaduk, pucuk itu, pucuk ini bukan senang. Bila dijual mestilah mahal. Bila nak digulaikan harganya akan naik lagi. Kalau kita kurangkan satu bahan, ia akan mengubah keaslian rasanya. Tiga tahun lepas masa PKP – musim durian pula jatuh hampir pada bulan Ramadan pula. Lambakan durian berlaku sebab kita semua dikurung. Penjual durian kerugian. Kami suami isteri memborong durian di kebun jiran sekampung dan kami proseskan menjadi lempuk. Tahu lempuk? Ia makanan tradisional yang dilupakan. Isi-isi durian kita kumpulkan di dalam kawah dan kita masakkan dengan hanya bara api. Ia akan jadi seperti dodol dan rasanya cukup sedap. Kami iklankan di media sosial. Ada kawan-kawan nak beli dan minta diposkan. Persoalannya berapa RM nak jual? Sekilogram durian jika harganya RM10, kita belilah 10kg. Masak punya masak, 10kg yang berharga RM100 ini mengecil menjadi 1kg. Dibahagikan 10, kita hanya akan dapat 100g. Takkanlah 100g nak jual RM100? Mahalnya! Tapi kalau jual, kita pula yang rugi. Nak masak bukan senang, makan masa sampai setengah hari. Itulah, akhirnya hanya kawan-kawan rapat yang mampu sahaja membelinya. Nak iklan pun tak sanggup. Kesimpulannya apa? Ya, siapa kata makanan tradisional kita lekeh dan kekampungan? Ia mahal dan hebat tau!
Sebab itu ada yang marah bila saya tulis artikel “lagu sekarang tak sedap” tempoh hari. Kata mereka ini jurang generasi. Kita orang lama hanya gemar bernostalgia dan membanding-bandingkannya dengan situasi hari ini. Kita tak mahu terima perubahan. Bukan! Saya katakan, ia bukan semata-mata tentang jurang generasi. Ia bersebab. Sebabnya ialah orang lama pernah menikmati rasa yang sedap dahulunya maka kayu ukur sedapnya berdasarkan pengalaman zaman itu. Kita mengukur sedap mengikut tolok pengukur hari ini, memang kita rasa hari ini sedap kerana kita tiada pengetahuan ke atas rasa sedap yang dahulu. Itu maksud saya.
“Semua orang menyatakan masakan paling sedap ialah masakan ibu mereka sebab air tangan ibu merekalah yang mula-mula mereka rasa ketika baru mengenal dunia. Itulah piawai yang telah tertanam dalam memori kita. Masakan selain daripada ibu punya, kita akan tetap berasa mereka kalah.” kata isteri saya.
Di media sosial, bulan puasa kali ini heboh tentang boikot terhadap sebuah pasar raya berikutan kedai mereka ada jual stoking bercop kalimah Allah. Hebohnya boleh kita ikuti di media sosial sehinggalah orang yang berkepentingan sama ada politik mahupun bisnes, sempat menaruh agenda mereka di celah-celah keributan ini. Saya tidak mahu turut sama menuang tuba di dalam lopak yang telah diracun itu. Cuma, saya cukup kesal dan sedih perkara sebegini masih terus berlaku kerana kita masih belum mengenal dalam-dalam sesama kita rakyat Malaysia berbilang kaum ini. Kita masih belum faham mengapa ada penganut sesebuah agama itu tidak boleh buat begitu dan ada sesebuah kaum itu tidak boleh buat begini. Entah kenapa makin lama kita makin teruk, tak pulih-pilih lagi daripada sakit berprasangka perkauman ini. Kita mesti bersatu dalam meraikan perbezaan bukan menjerit tentang penyatuan tetapi keras kepala nak ikut pendapat kita sahaja.
Sebab itulah saya kisahkan di awal tadi, abah saya sebagai pemula “trend” memberi juadah kepada jiran-jiran Cina depan rumah yang rata-rata, terutama kaum ibunya, langsung tidak reti berbahasa kebangsaan itu. Niatnya mahu hidup berbaik-baik, kenal-mengenal (li ta’arafu) tanpa dipengaruhi sentimen kebencian. Balasan yang diterima juga balasan yang baik.
Saya berdoa, kedamaian dan persefahaman yang kita citakan akan dapat kita capai. Saya begitu mengharapkan keamanan sebagaimana pada hari ini, di bulan Ramadan yang panas kali ini, saya begitu mendambakan agar hujan turun membasahi laman rumah saya yang sudah kering-kontang. Turunlah hujan! Sejukkanlah kepanasan ini! Amin. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.