`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 26, 2024

Pastikan keadilan buat Pasti

 

Seorang kawan di Facebook memberitahu menerusi “postingnya” baru-baru ini akan hal anak keduanya pada suatu hari pulang dari sekolah dengan bangga bercerita ustazah ajar buat bendera. Lalu si anak berkata ustazah kata kepada dia “kamu pilih kertas putih dan buat bulatan di tengah. Dalam bulatan itu biarkan putih. Kamu hanya perlu warna hijau untuk luar bulatan”.

Menarik bukan? Atau memeranjatkan? Menakutkan mungkin? Bukankah budak kecil anak kawan saya itu diajar buat bendera PAS? Bulan putih berlatar belakangkan hijau. Oh hampir lupa nak cakap. Anak kawan saya itu belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam yang lebih dikenali sebagai Pasti. Yang pasti ialah Pasti dikendali PAS. Huraian terperinci ialah Pasti merupakan pusat pendidikan prasekolah yang dikelola Jabatan Pasti bawah Dewan Pemuda PAS.

Lantas bolehkah disimpulkan anak-anak Pasti didedahkan kepada PAS pada usia begitu muda? Tempoh hari tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), agensi bawah Kementerian Sumber Manusia mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti selain Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti). Semua milik PAS.

Sebaik baca akan arahan itu saya merumuskan ia ada kaitan dengan langkah mengajar mengenai PAS kepada pelajar khusus anak-anak Pasti. Ertinya ada elemen politik. PAS disyaki melancarkan propaganda dan “brain wash” anak anak kecil. Rancangan jangka panjang demi kelangsungan politiknya.

Rupanya saya tersilap rumus. Maaf. Mengambil kira penjelasan Menteri Sumber Manusia Steven Sim. Arahan JTKSM kata beliau ialah mengenai hak pekerja, kebajikan mereka, skim persaraan, gaji minimum dan sebagainya selaras “labour law” negara. Semuanya demi kebaikan pekerja yang kata Sim jangan dipandang enteng oleh PAS selaku majikan.

Respons PAS ialah kakitangan Pasti termasuk guru bekerja secara sukarela dan sebagai sukarelawan hal ehwal mereka yang dibangkit oleh Sim tidak harus disiasat. Kata PAS mereka dibayar elaun bukan gaji. Maksudnya oleh itu tidak perlu pastikan “minimum wage”. Begitu?

Awal bulan ini Nik Nazmi Nik Ahmad, menteri sumber asli dan kelestarian alam menggesa PAS mengatasi aduan kakitangan tadika termasuk guru dibayar kurang RM1,500 sebulan di samping tidak dijadikan pencarum KWSP dan tidak ditawar skim persaraan walaupun sudah beroperasi lebih 30 tahun.

Namun, bagi pemimpin PAS termasuk Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man apa yang berlaku terutama kebelakangan ini ialah tekanan ke atas partinya.

Berbalik cerita kawan Facebook saya yang anaknya diajar lukis bendera PAS. Kata beliau “Saya dan isteri tak setuju bab ini kerana budak-budak sudah diajar lukisan macam tu. Saya hubungi pengurusan Pasti dan mereka akur untuk tidak mengulangi lagi”.

Kawan saya ini adalah penerima sijil penghargaan Pasti kerana beliau adalah satu-satunya penduduk kawasannya yang menghantar empat anak belajar di Pasti. Katanya anak-anak diajar baca doa, bahasa Arab dan Inggeris serta subjek lain yang sesuai di samping diajar wuduk dan solat berjemaah. “Saya setuju pendidikan ini,” katanya.

Namun, katanya “apabila guru guru Pasti dianggap sukarelawan sahaja saya sedih. Mereka bertugas sepenuh masa untuk dua sesi”. Menurut iklan waktu kerja guru dan pengasuh Pasti ialah 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Dan kata kawan saya lagi “Ada (antara guru) pulang dari (universiti) Al Azhar”. Merujuk pusat pengajian tinggi di Mesir yang terkenal.

Bagaimanapun, menurut Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri dalam kalangan guru Pasti ada yang bekerja sehingga puluhan tahun. “Jika mereka rasa terbeban dengan elaun yang rendah mana mungkin mereka mampu bertahan selama puluhan tahun? Lebih baik mereka cari kerja lain yang lebih menguntungkan,” katanya menerusi kenyataan disiar Harakahdaily, lidah rasmi PAS 20 Mac lalu.

Lalu persoalannya mengapa mereka melakukannya? Kemungkinan besar mereka sudah diasuh atau istilah kegemaran PAS “ditarbiah” untuk “berjihad” demi agama dan masa depan anak anak Muslim dan mendapat ganjaran pahala. Jika andaian ini tepat pada hemat saya ia membuktikan kejayaan sistem “pengkaderan atau cadreship” PAS. Saya percaya kebanyakan jika tidak semua guru Pasti adalah ahli PAS.

Tetapi perlu ditegaskan PAS beruntung malah dilihat mengambil kesempatan akan keikhlasan guru Pasti berjihad. Ini bagi saya satu ketidakadilan. PAS punya tanggungjawab moral menjaga kebajikan dan masa depan guru serta kakitangan Pasti. Janganlah “take them for granted”.

Kawan Facebook saya yang disebut tadi mengaju persoalan: “Pada hari ini kos kehidupan berbeza 40 tahun lalu. Adakah mereka yang bergaya dengan Mercedes dan BMW tidak terfikir untuk sediakan gaji tetap untuk guru-guru Pasti? Adakah guru-guru tiada KWSP dan Perkeso kerana kesukarelawan mereka?”

Kepada siapa pertanyaan itu dihidangkan? Pasti kita tahu. Kata orang siapa makan cili…sila sambung. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.