`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 21, 2024

Sabah perlu ada badan kawal selia air, kata timbalan menteri

 

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tahun lalu RM258 juta diperuntukkan untuk Sabah bagi melaksanakan projek antaranya pembinaan LRA Cinta Mata 2 di Tawau. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berpandangan Sabah perlu mempunyai sebuah badan kawal selia bagi memantau tahap perkhidmatan disediakan operator air di negeri itu.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata seperti di Semenanjung, terdapat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bukan sahaja berfungsi mengawal selia bekalan air, tetapi juga bertindak menetapkan beberapa syarat di bawah akta sedia ada untuk “mengikat” operator agar sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata, hal itu penting kerana rizab margin keseluruhan bekalan air Sabah pada 2022 hanya berada pada tahap 7.1% dan terdapat kemungkinan rizab margin bekalan air di setiap daerah juga jauh lebih rendah berbanding angka keseluruhan.

“Atas sebab itu, untuk mengurus bekalan air di Sabah, saya rasa ada keperluan di peringkat negeri untuk ada satu badan kawal selia. Namun kita faham di Sabah, ada enakmen.

“Jadi kita harus memikirkan sama ada mahu proses kawal selianya disekalikan dengan suruhanjaya yang sama (SPAN) atau kita angkat (wujudkan) baru di peringkat negeri,” katanya pada sesi kamar khas Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap isu dibawa Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) terhadap masalah bekalan air yang kritikal di Sabah dan langkah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek air yang dirancang.

Akmal berkata, tahun lalu sebanyak RM258 juta diperuntukkan untuk negeri itu bagi melaksanakan beberapa projek antaranya pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 di Tawau yang kini dalam proses perolehan.

“Surat Setuju Terima (SST) untuk projek ini dijangka dikeluarkan pada Januari 2025. Bagi projek sambungan air pula, sebanyak enam sedang dijalankan dan empat projek telah siap dan dalam proses memuktamadkan akaun,” katanya.

Pada tahun ini, katanya tiga projek baharu dan 10 projek sambungan air turut diluluskan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.