`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 21, 2024

Kerajaan pergiat libat urus galak aliran masuk dana ke pasaran tukaran asing

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata BNM memaklumkan prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat terus bertambah baik.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Bank Negara (BNM) akan terus mempergiat libat urus dengan pihak korporat termasuk pengeksport, pengimport, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menggalakkan aliran masuk dana ke pasaran pertukaran asing tempatan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 2 Tahun 2024 diadakan hari ini, Gabenor BNM Abdul Rasheed Abdul Ghaffour memaklumkan prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus bertambah baik.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata ini adalah hasil pelbagai inisiatif diselaraskan antara kerajaan, BNM, GLIC dan GLC serta unjuran yang diumumkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) semalam.

Beliau berkata, unjuran tersebut menunjukkan kadar inflasi AS yang lebih terkawal dan pelan utuh normalisasi dasar monetarinya pada tahun ini akan mengekang kenaikan dolar AS.

“Sejak memulakan operasi bersama (inisiatif itu), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 1.4% kepada 4.7135 hari ini daripada 4.7773 pada 23 Feb 2024.

“Namun begitu, ketidaktentuan pasaran kewangan global akan terus mempengaruhi pergerakan mata wang ringgit selagi tindakan dasar monetari ekonomi-ekonomi maju masih tidak jelas,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X rasminya.

Sementara itu, perdana menteri juga berkata kerajaan akan melaksanakan inisiatif “New Deal For Business” (NDFB) menerusi penambahbaikan kecekapan proses dan prosedur serta pelaksanaan reformasi struktur dalam menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, mesyuarat MTEN hari ini juga meneliti secara mendalam cadangan NDFB itu yang bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan pelabur serta melonjakkan pertumbuhan produktiviti, daya saing dan ekonomi negara.

“Justeru, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan semua inisiatif NDFB,” kata Anwar.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai “Pengukuhan Kerangka Jaminan Pendapatan Usia Tua di Malaysia” yang menumpukan kepada isu penuaan serta kesannya, termasuk persediaan negara dalam menyediakan jaminan pendapatan usia tua.

Justeru, mesyuarat itu memutuskan satu kajian menyeluruh perlu dijalankan bagi menambah baik kerangka jaminan pendapatan usia tua di Malaysia agar lebih holistik, kata perdana menteri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.