`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 21, 2024

Usah jadi ‘penguat kuasa, hakim’, senator MCA bidas ketua Pemuda Umno

 

Ti Lian Ker mendakwa sikap Dr Akmal Saleh diteladani kumpulan ‘vigilante’ yang mengambil tindakan sendiri dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

PETALING JAYA: Senator MCA menyifatkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh seolah-olah mahu menjadi “penguat kuasa, penterjemah undang-undang, dan hakim”, merujuk penjualan stoking tertera kalimah Allah dan permohonan maaf pihak terlibat.

Ti Lian Ker berkata, Akmal bertindak mengikut emosi tanpa mengambil kira undang-undang, dan ada ketika mengambil tindakan sendiri.

“Tindakan angkuh dan tidak endah undang-undang inilah yang mengakibatkan rakyat ‘fed-up’ dan jemu…tindakan ini bukanlah suci murni tetapi membuli,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah diraja, di Dewan Negara.

Ti, bekas naib presiden MCA, juga mendakwa sikap Akmal diteladani kumpulan “vigilante” yang mengambil tindakan sendiri.

Ketika dihubungi, Ti berkata, beliau merujuk kepada kumpulan silat yang berkonfrontasi dengan pengguna Facebook yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sensitif apabila mengulas kontroversi berkait penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“Ini mungkin sama dengan ugutan jenayah atau serangan walaupun tiada pergaduhan. Kita tidak mahu trend ini berterusan yang boleh mengakibatkan keganasan dan kecederaan,” katanya yang berkongsi sentimen sama diutarakan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya.

Latheefa menyifatkan tindakan kumpulan silat berkenaan sebagai “membuli dan menjengkelkan” dalam X, dua hari lalu, sambil menambah andai seseorang itu berfikiran kesalahan telah dibuat, mereka sepatutnya membuat laporan, bukan mengambil langkah sendiri.

Pada September tahun lalu, Ti turut membidas Akmal selepas beliau “menyerbu” kilang beras di Melaka, yang mana pemiliknya didakwa diancam akan ditarik lesen, selain produk beras dirampas termasuk kilang diarah tutup.

Ti tidak bersetuju dengan tindakan Akmal, sambil menyuarakan ia melangkau bidang kuasa dan dianggap sebagai pembulian dan ugutan.

Baru-baru ini, Akmal mendesak pemboikotan KK Mart berkait isu penjualan stoking dan akan “berhabis-habisan” ke arah itu, walaupun pemimpin partinya menasihati tidak “berlebih-lebihan”.

Katanya, permohonan maaf KK Mart tidak cukup dan tiada sesiapa boleh terlepas dengan satu sahaja permohonan maaf selepas menghina agama dan menuntut kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.