`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, March 27, 2024

Semakin renggangkah kita?

 

Isu kalimah Allah membabitkan KK Mart menyajikan peluang keemasan buat pihak yang gemar main politik memain peranan untuk dapat keuntungan politik, dan juga pihak yang suka main sentimen ras dan agama.

Yang mahu menjadi jaguh orang Melayu mengorak langkah. Begitu juga pihak yang mahu jadi juara orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina. Itu gelagat orang politik. Gambaran yang didapati ialah parti politik Melayu versus parti politik Cina. Lebih tepat Umno lawan MCA, dan DAP walaupun parti pelbagai bangsa tetapi majoriti Cina.

Orang bukan politik bagaimana? Oleh kerana orang Cina memiliki KK Mart maka orang Cina menyokong rangkaian pasar raya itu. Ini bercakap secara am bukan specifically. Orang Melayu pula memboikot. Lantas kita punya situasi Cina pada satu pihak dan Melayu di satu pihak.

Oleh kerana pengasas KK Mart orang Sarawak, Parti Bumi Kenyalang mahu kerajaan Sarawak menyokong KK Mart. Sudah masuk elemen parochial yang berisiko merenggangkan hubungan Borneo dengan Semenanjung.

Apabila isu ini mula-mula tercetus baru-baru ini ada pihak pantas mengeksploitasi untuk menghentam kerajaan. Platform media sosial dihujani mesej menuduh kerajaan pandang ringan Allah ‘dihina’, takut orang bukan Islam serta mahu jaga hati Cina, dan bermacam lagi. Ini dilempar meskipun ketika itu siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. Nasihat pemimpin supaya semua pihak bertenang dan jangan biar isu berlarutan dipersendakan (sekadar guna istilah lembut).

Kempen boikot KK Mart dipanjangkan dengan gesaan memboikot rangkaian kedai kopi yang didakwa milik seorang pemimpin DAP. Sama ada betul atau tidak orang DAP pemilik rangkaian kedai kopi berkenaan tidak dapat dipastikan. Hakikatnya kesempatan diambil untuk lancar serangan politik.

Jika dilihat komen orang ramai di media sosial ramai orang Melayu dilihat amat marah. Menurut laporan media ada kumpulan pemuda Melayu yang buat demonstrasi di depan kedai KK Mart dan ada juga yang tersilap kedai . Hakikatnya ada tunjuk perasaan. Ada laporan pekerja KK Mart dimaki dan diancam. Semasa artikel ini ditulis ada laporan kedai KK Mart di Perak dibaling dengan bom petrol.

Tentu ada reaksi orang bukan Melayu. Ada ulasan dan komen yang keras, kasar, dan pedih di media sosial. Ada yang sudah ditangkap dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana membuat kenyataan keterlaluan ketika bertindak balas. Namun kritikan dan kecaman berterusan malah tidak hanya bersabit isu kalimah Allah dan KK Mart.

Umpamanya ucapan Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau, pada sidang Dewan Rakyat 25 Mac lalu. Bukan kecaman tetapi pertanyaan kritis. Beliau mempersoal mengapa tidak ada tindakan diambil apabila ada pihak yang menghina agama selain Islam tetapi dakwa beliau jika ada orang hina Islam tindakan segera diambil. Ini tidak ada kaitan dengan isu kalimah Allah tetapi merujuk penceramah Muslim yang mereka dakwa menghina agama bukan islam. Dalam konteks ini agama Hindu.

Lalu sekumpulan Ahli Parlimen berbangsa India daripada Pakatan Harapan dan senator mewakili MIC menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan ke atas penceramah berkenaan. Bolehlah disimpulkan mereka juga mahu dilihat menjuarai kepentingan masyarakat sendiri.

Dalam kes ini dakwaan mereka khusus terhadap penceramah Muhammad Zamri Vinoth yang kata mereka menghina masyarakat India beragama Hindu.

Teringat pesanan agamawan Islam akan larangan mencela agama lain dengan memetik Ayat 108 Surah al-An’aam:

“Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”

Bagaimanapun Zamri menafikan dan mencabar pihak yang menuduh mengemukakan bukti dia menghina Hindu.

Apa pun hakikatnya semua ini sama ada isu KK Mart dan juga penceramah tidak membantu mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama. Kita semua tahu ini tidak bagus untuk negara. We don’t need this. Apa yang sedang berlaku nampaknya menjadi-jadi. Amat menyedihkan dan membosankan.

Untuk menyatakan sesuatu yang nyata — kerajaan punya tanggungjawab besar untuk mengatasi masalah ini dan memastikan hubungan baik antara kaum terjalin terus. Kerajaan perpaduan mesti pupuk perpaduan.

Namun setiap rakyat mesti memikul tanggungjawab dan main peranan masing-masing demi kesejahteraan bersama. Imbau slogan sambutan Hari Kebangsaan dalam 1990-an berbunyi “negara kita tanggungjawab kita”.

Apa yang sedang berlaku sekarang tidak boleh dibiar terus berlaku. Cukup setakat ini sebelum saya dituduh berkhutbah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.