PUTRAJAYA: Lahir daripada “Kabinet Kampus” sebagai pemimpin mahasiswa, Zambry Abdul Kadir memanfaatkan pengalaman itu untuk menyelesaikan pelbagai masalah penuntut sejak menjadi menteri pendidikan tinggi mulai Disember tahun lalu.
Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu diuji apabila lawatan pertamanya ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 8 Jan lalu disambut penuntut yang menyanyi “memohon maaf” kepadanya kerana belum mandi akibat gangguan bekalan air.
Mendengar sendiri permasalahan penuntut terbabit dan selepas berbincang dengan pengurusan universiti, Zambry terus mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membantu menyelesaikan masalah membelenggu sejak 2021 itu.
Beliau juga turun padang mengadakan sesi libat urus dengan penuntut universiti lain, antara masalah dikenal pastinya termasuk isu penyelenggaraan kemudahan kampus berusia terutama berkaitan penginapan.
“Tidak wajar untuk saya hanya duduk di kerusi empuk di pejabat dengan menerima laporan-laporan tentang sesuatu perkara berkait kedudukan universiti, politeknik dan juga kolej komuniti.
“Bukan bermaksud tidak percaya dengan visi, naib canselor atau kepimpinan di peringkat universiti dan kolej, tetapi saya merasakan lebih efektif kalau dapat turun bersama-sama dengan mereka secara berpasukan,” kata Zambry dalam temu bual dengan FMT, baru-baru ini.
Menurut Zambry, pendekatan turun padang bukan baharu baginya malah diterapkan ketika duduk di kerusi menteri besar Perak selama lapan tahun bermula 2009 dengan menerapkan 3P iaitu padang, perasaan dan penyelesaian.
Jelasnya, beliau sebagai pemimpin atau menteri perlu turun padang melihat sendiri untuk menyelesaikan masalah dan dari situ timbul perasaan berkaitan masalah serta keutamaan untuk menyelesaikannya.
“Seperti berlaku di UMS saya tidak salahkan pentadbiran tetapi sebagai menteri mungkin saya melihatnya dalam perspektif lain iaitu dari segi keutamaan. Kerana kehidupan pelajar setiap hari yang terganggu bukan hanya dalam tempoh seminggu dua tetapi telah lama.
“Saya turun ke bawah walaupun disambut dengan plakad dan demonstrasi aman, saya kata (tetap) nak turun ke bawah kerana saya cuba memahami dan mencari penyelesaian,” katanya yang menjadi menteri luar negeri sebelum rombakan Kabinet, Disember lalu.
Dalam menyelesaikan masalah di institusi pengajian tinggi awam, Zambry berkata beliau kerap mendengar pandangan semua pihak dan tidak hanya menyalahkan pengurusan kerana sedar kekangan turut dihadapi mereka.
“Contohnya mereka kata kurang bajet…bila saya umumkan peruntukan saya mahu lihat hasilnya. Jangan bila saya datang nanti masalah lain pula dan kata ‘we cannot do that’, saya tak boleh terima,” tegasnya.
Zambry turut menekankan kepentingan untuk mengatasi masalah berkait kebajikan penuntut pengajian tinggi terlebih dahulu seperti kemudahan pembelajaran sebelum melakukan perubahan lebih besar.
“Sebelum ke aspek lain dan lihat ‘software’, kita perlu melihat dari segi ‘hardware’ tentang keadaan universiti, politeknik dan sebagainya. Contohnya yang telah dibina lama mungkin dalam 20 atau 30 tahun lalu.
“Apakah berlaku dengan kondisi bangunannya? Apa perlu kita lakukan? Jadi bila turun bawah kita dapat melihat bersama-sama (untuk cari penyelesaian),” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.