`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 26, 2024

Jangan merengek, runding bantu rakyat, tegas PM

 

Anwar Ibrahim berkata ada pemimpin memilih mencaci kerajaan sehingga rakyat meluahkan kemarahan di media sosial. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menempelak pendirian pemimpin yang memilih merengek dan mencaci usaha kerajaan membantu semua kaum, yang hanya merugikan rakyat.

Beliau berkata sebaliknya pemimpin harus memilih untuk berunding dengan kerajaan, agar dapat bekerjasama membantu rakyat tanpa mengira kaum dan bersama membangunkan negara.

Katanya pendekatan terbaik ialah bekerjasama dan berunding dengan baik, agar mendapat perhatian kerajaan untuk bersama mengangkat martabat semua suku kaum dan wilayah.

“Ada (pemimpin) memilih untuk bekerjasama (dengan kerajaan) dan ada yang memilih untuk hanya mencaci dan melihat semuanya tak betul. Akhirnya masyarakat marah-marah, guna media sosial maki hamun,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), di sini hari ini.

Dalam hal ini, Anwar berkata beliau menghormati pandangan Presiden MIC S Vigneswaran yang memilih untuk datang berdepan dengannya dengan membawa masalah masyarakat India, demi mendapat perhatian kerajaan bagi membantu golongan tersebut.

Beliau berkata pemimpin sama ada dari PKR, MIC dan DAP memilih berunding untuk membantu dan meningkatkan mutu hidup rakyat dari semua kaum.

“Ini cara yang harus dipilih. Membina negara dan bekerja sebagai satu pasukan, bukan menggunakan forum untuk mengutuk dan memfitnah dan menafikan sebarang sumbangan positif oleh kerajaan,” katanya.

Anwar berkata selepas menempuh pelbagai cabaran hidup dan apabila menjadi perdana menteri, beliau memberi jaminan kepada semua kaum untuk berkhidmat dan menjadi pemimpin kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga mengingatkan agar bibit-bibit perkauman disingkirkan dan semua kaum harus diangkat martabatnya untuk menjadikan Malaysia berjaya, gagah dan hebat semula.

Perdana Menteri berkata pemimpin yang melaga-lagakan antara kaum, hanya mendatangkan keuntungan kepada mereka sendiri, mendatangkan undi tambahan dan kekayaan tetapi akhirnya merugikan rakyat.

“Pergaduhan antara kaum untungkan kelas atasan, miskinkan golongan bawah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.