`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 23, 2024

Kalau ada kawan macam ini

 

Free Malaysia Today

Pada majlis sambutan Adilifitri Umno Hulu Selangor tempoh hari yang tentunya dihadiri ramai orang parti dan penyokong, Zahid Hamidi selaku presiden memberi peringatan kepada setiap anggota parti bukan sahaja Umno bahagian.

Kata Zahid, Umno mesti terima hakikat ia bukan lagi parti dominan, bukan lagi powerhouse seperti dahulu. Sebenarnya peringatan begini pernah dilaungkan beliau sebelum ini. “Sekarang kita melukut di tepi gantang, kita terpinggir sekarang,” kata Zahid dalam peringatannya kali ini.

Beliau kemudian berkata ini bukan bermakna Umno di penghujung usia politik malah masih diberi kepercayaan tinggi untuk bangkit dalam kerajaan perpaduan. Zahid seterusnya menyenaraikan apa yang Umno perlu buat sekarang. Ini tidak akan saya bicarakan kerana ia bukan dalam konteks artikel ini.

Apa pun dalam mengingatkan partinya mesti terima hakikat atau terima realiti, bagi saya bolehlah ditafsir sebagai ‘perlu sedar diri’. Ertinya Umno kenalah sedar ia bukan parti yang gah berkuasa dahulu. Peringatan yang tepat dan relevan.

Namun pada hemat saya, peringatan seperti itu elok juga Zahid selaku pengerusi BN panjangkan kepada komponen gabungan pimpinananya iaitu MIC dan MCA, terutama parti yang mendakwa mewakili masyarakat Cina.

Kedua-dua parti itu mengumumkan tidak akan berkempen (baca: tidak akan bantu dan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan) pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu jika calon BN tidak diletak bertanding di situ. Pada hal BN sebahagian kerajaan perpaduan yang diterajui PH.

Bagaimanapun apa yang Zahid lakukan ialah sekadar bertemu Wee Ka Siong presiden MCA dan memahami situasi yang Wee hadapi ketika MCA mengeluarkan kenyataan tidak mahu terlibat kempen. Kata Zahid beliau akan ikhtiar agar MCA menyertai kempen. Bagi saya ini usaha memujuk MCA. Bukan memarahi atau beri amaran.

Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan perpaduan pula memberitahu beliau dihubungi Presiden MIC, SA Vigneswaran, yang menyatakan akan berkempen di Kuala Kubu Baharu. Anwar yakin MCA juga akan ikut serta kempen. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau juga memujuk (dan berjaya?) atau berkata sesuatu yang membuat kedua-dua parti mahu berkempen.

Bagi saya kenyataan yang jelas dibuat oleh timbalan presiden Ummo yang juga timbalan pengerusi BN, Mohamad Hasan. Kata beliau parti komponen BN perlu membantu siapa pun calon yang akan bertanding mewakili kerajaan perpaduan.

Jelas dan terang merujuk kepada MCA yang keengganan membantu dikaitkan dengan rasa tidak puas hati dan marah jika calon DAP dipilih mewakli kerajaan bertanding. Dalam erti kata lain boleh dikata MCA mahu bertanding di situ. Kekecewaan dan kemarahan tidak dapat bertanding di selindung kata-kata tidak berkempen “jika bukan calon BN”. On the surface MCA dilihat memperjuangan kepentingan BN tetapi agak nyata calon BN yang dimaksudkan ialah ia sendiri. Jika DAP yang dipilih ia bagai mengguris lagi hati yang sememangnya lama terguris berdasar ‘hubungan’ dengan DAP sejak zaman Tok Kadok.

Kata Tok Mat lagi: “Sepatutnya kita mesti bantu kerana orang dah bantu kita jadi kita patut bantu. Tidak timbul soal tak nak bantu ke tidak, itu tak cantik nampaknya. Kita bukannya bergabung kita membantu sebagai rakan dalam kerajaan perpaduan,” kata beliau kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidlfitri di Rembau baru-baru ini. Yang menariknya turut hadir pada majlis itu presiden MCA.

Tidak dapat dipastikan sama ada presiden MCA ada mendengar Mohamad berkata demikian kepada pemberita secara langsung. Agak mustahil beliau tidak tahu apa yang Mohamad katakan walaupun tidak dengar sendiri.

Tetapi mungkin bagi MCA dan MIC yang mendapat bantuan ialah Umno bukan mereka. Bukanlah rahsia besar MCA dan MIC tidak puas hati dengan kerajaan perpaduan kerana tidak diberi tempat atau peranan penting dalam pentadbiran, tidak seperti pada pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

MCA terutamanya sering menyerang kerajaan atas alasan bertindak sebagai watch dog yang menegur bagi memastikan kerajaan tidak menyeleweng dan berada pada landasan betul. Sememangnya watch dog amat penting. Apa tah lagi jika ia datang dari dalam. Namun bagi saya serangannya dilihat lebih kerana DAP ada dalam kerajaan. Lebih tepat serangan ke atas DAP secara khusus manakala kerajaan secara am. Serangan lanjutan sengketa lama dengan DAP yang berterusan.

Berbalik kepada kata-kata Mohamad. Setelah berkata apa yang beliau kata apa tindakan susulan? Yang akan atau yang boleh dilakukan jika komponen tidak mahu mendengar ‘nasihat’? Dalam apa juga hal, komponen mesti mematuhi pendirian, keputusan, dan arahan gabungan. Dalam isu ini BN. Tidak patuh bererti melanggar dan mengingkari arahan. Jika ini terjadi saya ulangi, apa yang boleh atau yang akan dilakukan oleh pimpinan BN?

Apa pula yang mesti dilakukan MCA dan MIC? Jika sudah tidak setuju dengan pendirian gabungan lantas tidak patuh, bukankah molek jika kedua-dua meninggalkan BN? Atas dasar prinsip. The right thing to do based on principle.

Mahu tinggalkan BN bukan perkara baharu buat kedua-dua parti. MCA dan MIC pernah berhasrat berbuat demikian apabila BN tumbang dan hilang kuasa pada PRU 2018 tetapi akhinya memilih untuk kekal bersama BN hingga ke hari ini.

Ramai penganalisis serta pemerhati politik berpendapat MCA dan MIC tidak yakin bertindak keluar BN kerana secara bersendrian akan membawa padah. Apa tah lagi kedua-dua sudah lama hilang sokongan majoriti masyarakat yang mereka dakwa wakili.

Mungkin satu pilihan ialah tinggalkan BN dan menyertai Perikatan Nasional. Kemungkinan besar PN akan mengalu-alukan MCA dan MIC supaya ia berwajah kepelbagaian bukan dilihat sebagai entiti politik Melayu-Islam semata mata . Namun apa pula kata Gerakan, komponen PN yang setia selama ini? There is no love lost between MCA and Gerakan. Gerakan lah yang memberi imej multiracial kepada PN sedikit sebanyak.

MCA khususnya mungkin boleh melupakan ketidaksenangan mereka terhadap PAS, parti utama dalam PN. Begitu juga MIC. Persoalanya bolehkah mereka diterima oleh masyrakat atau pengundi Cina dan India? Dalam BN pun kejayaan kedua parti banyak dicipta dengan sokongan pengundi Melayu tetapi orang Melayu sudah menoleh muka sejak PRU 2008.

Mungkin tiada pilihan selain duduk dalam BN dan patuh arahan walaupun tidak sepenuh hati turuti kerana terpaksa atau dipaksa. Maknanya boleh bertindak bagai duri dalam daging buat kerajaan perpaduan meskipun mengaku kawan. Mungkin kerajaan perpaduan akan berkata kalau ada kawan seperti ini siapa perlu musuh? Atau seperti ungkapan yang sering kita dengar “with friends like this who needs enemy“. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.