`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 10, 2024

Mengapa raya kita berbeza?

 

Apakah sudut pandang ‘orang luar’ terhadap budaya perayaan Hari Raya Puasa? Yang saya maksudkan dengan ‘orang luar’ ialah mereka yang dari luar negara, luar dari lingkungan kita; di mana mereka memerhatikan perjalanan dan juga sambutan Aidilfitri yang diraikan oleh kita, dan mungkin menghakiminya.

Untuk itu saya menyelak beberapa catatan dan buku lama yang merentang beberapa dekad untuk memastikan apakah tanggapan orang luar terhadap sambutan Hari Raya yang kita rai dan amalkan saban tahun, selama ini. Pandangan ‘orang luar’ ini tidaklah bermaksud mereka lebih baik daripada kita, cumanya kita dapat memahami sedikit sebanyak bagaimana mereka memandang kita. Ia juga tidak memberi maksud kita terlalu pedulikan pendapat orang.

Antara ‘orang luar’ yang ada mencatat mengenai sambutan Hari Raya Puasa adalah Charles Turney yang pernah menjawat peranan selaku pegawai daerah di Kuala Langat, Selangor sekitar 1875. Turney diundang ke Istana Selangor di Jugra pada pagi Raya di mana beliau melihat bagaimana Hari Raya disambut oleh orang kenamaan. Tulisan Turney yang terbit pada April 1894 sebagai laporan untuk Selangor Government Gazette itu sedikit sebanyak memberikan kita gambaran (meskipun ia tidak berkait dengan orang awam) bagaimana Aidilfitri disambut oleh sesetengah orang Melayu.

Turney mencatatkan perihal pelajar dari sebuah sekolah di Jugra yang diundang untuk bermain muzik, antara lain memainkan irama Inggeris ‘Ring the Bell, Watchman’. Tentulah aneh memainkan irama kolonial di pagi raya. Kata Turney, acara tersebut dikepalai oleh Raja Muda ketika itu. Ia bermula dalam pukul 8. Sekitar pukul 9 pagi, imam Permatang Pasir dari Kuala Selangor membacakan doa.

Sebanyak 23 acara permainan dengan hadiah sejumlah $2 ke $10 dilaporkan telah dianjurkan. Acara atau aksi sukaneka ini dilakukan untuk memberi kesenangan kepada raja dan bangsawan. Apabila Raja berasa terhibur maka terdapat banyak lagi hadiah diberikan. Sekitar 2,000 orang tetamu termasuk anak-anak sekolah diraikan pada sambutan Hari Raya ini.

Namun demikian, Turney gagal memberikan huraian terperinci mengenai sambutan itu. Misalnya kita tidak mengetahui apakah acara yang dianjurkan tersebut berlaku pada 1 Syawal atau selepas. Tiada catatan tentang hidangan lazat orang Melayu. Pun Turney ada menulis yang sambutan ini memberikan kegembiraan luar biasa kepada “orang Melayu di Langat”:

“The day was a royal one, with just a little rain in the morning to keep down the dust, and cloudy and cool the whole of the rest of it. The band was attractive and gave zest to the proceedings, and the large concourse of people numbering, I should say, over 2,000, went away pleased with the amusement afforded to them for once in their dreary lives.”

Sebetulnya gambaran Hari Raya yang meriah di Langat ini turut diperi oleh residen Inggeris, Frank Swettenham, apabila beliau ikut menjadi tetamu Aidilfitri di istana pada 12 November 1874, dua dekad sebelum Turney. Tanggapan Swettenham mungkin sedikit lebih rinci. Misalnya beliau menyatakan tetamu datang menyembah sultan pada Hari Raya di mana kota Langat disesaki manusia dari pagi santak ke malam.

Tambah Swettenham, Hari Raya identik dengan Natal di mana orang akan saling maaf-memaafi, mengenakan baju terbaik, dan berangkat menghadap sultan lantaran ini harinya puasa berakhir. Swettenham turut menyebut yang Hari Raya memang suatu perayaan yang besar bahkan di Jelebu pada 1897, banyak kerbau ditumbangkan dan ziarah menziarahi menjadi semacam satu kewajipan.

Sudah tentu sudut pandang Turney dan Swettenham itu cara pandang kolonial di mana mereka hanya tertarik dengan unsur halai balai atau keriuhan Hari Raya tanpa memahami falsafah, semangat, dan juga proses yang membawa kepada sambutan 1 Syawal.

Kerangka pendapat atau pemerhatian Ziauddin Sardar mungkin sedikit lebih relevan dengan kita, seorang warga British berketurunan Pakistan yang terpukau dengan Kuala Lumpur. Sardar sempat menjadi penasihat kepada Anwar Ibrahim lama sebelum beliau menjadi perdana menteri hari ini. Tokoh ini memberikan kita beberapa pemerhatian selaku ‘orang luar’. Sardar antara lain mencatit apa yang dilihatnya itu dalam buku “The Consumption of Kuala Lumpur”.

Sardar yang memberi tumpuan pada sambutan raya di ibu kota pada 1990-an itu menyatakan rasa terpesonanya kepada bagaimana masyarakat bandar menyiapkan diri untuk beraya. Sardar mengatakan pusat membeli-belah yang banyak berceracakan di Kuala Lumpur akan mulai mendirikan pentas di tengah pusat belanja untuk menghebahkan promosi raya atau hiburan sementara. Menurut Sardar, dalam banyak perayaan berkait Islam; orang Melayu beria-ia dengan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji sahaja.

Salah satu kekaguman Sardar dengan perayaan di Malaysia pada 1990-an ialah apabila Hari Raya Puasa sempat bertembung dengan Tahun Baru Cina menjadikan pentas atau pangkin yang diwujudkan di tengah pusat membeli belah ini akan berebut pengisian dan muatannya.

Sardar yang melihat Malaysia atau lebih tepat Kuala Lumpur pada dekad ini ada menyatakan rasa kagumnya apabila fenomena multi-kulturalisme itu benar-benar bersanding sekali saat dwi perayaan ini. Kata Sardar, di sinilah Kuala Lumpur menghadiahkan kita satu gejala luar biasa, kerana multi-kulturalisme ‘bukan lagi umpan atau jerat untuk pelancong yang disengajakan’, atau bukan pula sekadar gagasan dalam benak; tetapi sebetulnya menjadi realiti. Di sini, secara halus Sardar memuji.

Sardar merasakan masyarakat Malaysia tahun 1990-an itu memberikan makna baru kepada dunia manca budaya. Apabila Tahun Baru Cina jatuh dalam bulan puasa, masyarakat Cina menganjakkan sambutan makan minum mereka (rumah terbuka) ke malam hari iaitu selepas teman yang dijemput telah berbuka, agar dapat ikut sama menyertakan tetamu yang beragama Islam.

Sardar juga tidak menyimpan rasa anehnya melihat warga kota berdedai pulang ke kampung, menjadikan kota KL bagaikan dilanda garuda. Beliau melongo melihat KL lengang. Setelah cuti panjang itu, warga kota akan kembali dari desa dan dari sinilah lahirnya idea ‘rumah terbuka’ di mana giliran untuk raya yang asalnya terhad di kampung merebak untuk keraian teman, rakan sepejabat, dan jiran tetangga pula. Sardar menyatakan budaya ini sangat unik dan menjadi satu batu tanda persilangan budaya yang hebat.

Sesungguhnya membaca nukilan ‘orang luar’ tentang Hari Raya memberikan satu rasa yang juga semacam. Ada yang tentu menjengkelkan kita sepertinya catitan Hari Raya khusus dalam kalangan hartawan, orang kenamaan, dan berada. Pun, kita berasa bangga apabila budaya Hari Raya kita hari ini dianggap dapat menjadi satu rujukan peradaban yang istimewa.

Kadang-kala kita tidak nampak apa yang berlaku pada jasad kita sendiri. Akan tetapi apabila kita ditunjuki orang, kita akan lekas menyedari bahawa pembauran budaya dan juga cara kita menyambut Hari Raya amat berbeza dengan umat lain. Gaya khas inilah yang menjadikan Hari Raya di Malaysia takkan sama sekali dapat dibandingkan dengan tempat lainnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.