`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 13, 2024

‘Patin dah tiada’, perangi ikan bandaraya musuh hidupan air tawar

 

Ikan bandaraya atau ‘hypostomus plecostomus’ yang memakan hidupan dasar sungai adalah ‘musuh utama’ perlu dibanteras bagi memastikan ikan air tawar mempunyai generasi penerus.

PETALING JAYA: Lima ratus ikan bandaraya dan seekor patin selepas enam jam tebar jala. Demikian hasil diperoleh seorang sukarelawan pemburu “ikan pemusnah” itu sekali gus menunjukkan betapa meruncing ancamannya terhadap ekosistem air tawar.

Berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan, ikan bandaraya atau “hypostomus plecostomus” yang memakan hidupan dasar sungai adalah “musuh utama” perlu dibanteras bagi memastikan ikan air tawar mempunyai generasi penerus.

Sukarelawan pemburu ikan bandaraya, Heidi Shafiq Haidzir, 37, berkata pasukannya yang melakukan kerja pembersihan sungai selama enam jam baru-baru ini berjaya menangkap lebih 500 spesies itu dan hanya seekor patin terkena jala yang ditebar.

Katanya, usaha pembersihan sungai perlu dilakukan bagi mengurangkan populasi ikan bandaraya sekali gus memastikan kesinambungan hidupan air tawar lain dan memelihara ekosistem.

Sukarelawan pemburu ikan bandaraya Heidi Shafiq Haidzir bersama pasukannya melakukan aktiviti mingguan menangkap spesies itu di sungai sekitar Lembah Klang.

“Siapa duduk di kawasan Sungai Langat tahu sungai ini banyak ikan patin. Sepuluh tahun lalu saya pernah memancing di Sungai Langat, kalau pancing ‘confirm’ dapatlah (ikan patin).

“Tapi sekarang tebar jala…20 ikan bandaraya mungkin seekor saja ikan lain macam lampam atau tilapia. Patin dah tak ada, (selepas enam jam) petang baru dapat seekor patin…teruk macam ini,” katanya kepada FMT.

Syafiq berkata, keadaan itu turut menjejaskan sumber tangkapan orang ramai yang menjadikan sungai sebagai lubuk rezeki ikan air tawar sejak beberapa tahun lalu.

Sukarelawan pemburu ikan bandaraya menunjukkan hasil tangkapan susulan lambakan spesies itu yang boleh merosakkan habitat dan ekosistem sungai.

Katanya, pemeliharaan ekosistem adalah tanggungjawab bersama dan setiap rakyat perlu mempunyai rasa sayang terhadap alam sekitar, sambil merujuk laporan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkaitan ancaman kepupusan haiwan lain antaranya burung tiong mas, helang botak, badak sumbu dan seladang.

“Bila negara pesat membangun, kalau boleh alam sekitar pun maju…jangan ekonomi sahaja. Jadi pemeliharaan alam sekitar kena maju bersama kerana kesan itu tidak nampak sekarang.

Sukarelawan memasang pukat untuk menangkap ikan bandaraya di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil.

“Kita tidak mahu akan datang di mana anak-anak kita kenal binatang itu dalam gambar atau buku sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (Unisel), Intan Faraha A Ghani, berkata ikan bandaraya boleh mengancam kepupusan spesies air tawar lain kerana kurang pemangsa dan memakan telur ikan tempatan.

Katanya, ketika ini terdapat dua genus (kumpulan) ikan bandaraya iaitu “hypostomus sp” dan “pterygoplichthys spp” yang mampu mengeluarkan sehingga 1,500 biji telur dan proses itu boleh berlaku beberapa kali dalam setahun.

Sukarelawan membawa pukat yang dipenuhi ikan bandaraya.

“Dominasi ikan ini semakin meruncing. Jika pada awal 90-an dan 2000, hanya beberapa spesies dilaporkan di beberapa tempat tetapi kini lebih lima spesies ditemui di perairan air tawar terutama sungai sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, jika ikan bandaraya tidak “diperangi” ia akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan darat sekali gus negara akan kehilangan pelbagai spesies asli antaranya kelah dan sebarau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.