PETALING JAYA: Oktober lalu sepatutnya menjadi detik menggembirakan buat seorang kakitangan swasta apabila dapat membeli kereta jenis Chevrolet Orlando berharga RM20,000 dengan
tawaran menarik termasuk perbatuan rendah dicatatkannya.
Namun ia bertukar mimpi ngeri buat Indrawan Mohd Yatim, 53, apabila kenderaan keluaran 2013 dibeli dari penjual kereta terpakai itu sebenarnya telah melalui perjalanan sejauh 217,000 km bukan 81,000 km pada meternya.
Menurutnya, perkara itu diketahui apabila menghantar kereta itu ke pusat servis di mana dia diberitahu keadaan kenderaan itu ‘amat teruk’ tidak seperti digambarkan oleh penjual yang premisnya terletak di Kuala Lumpur.
“Saya semak ke scrut auto untuk semakan dan dapati kereta yang ketika diiklankan meter perbatuannya hanya 81,000 km tetapi sebenarnya lebih 200,000 km,” katanya yang memutuskan untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk mendapat keadilan.
Indrawan juga mendakwa syarikat terbabit enggan mengakui kesalahan selepas dimaklumkan penemuannya.
Selepas melalui empat sesi pendengaran, Presiden Mahkamah TTPM Azlan Abdul Halim pada 3 April lalu mengumumkan pemilik syarikat penjual kereta terpakai itu perlu membayar award RM5,000 kepada Indrawan.
Indrawan berharap keputusan itu dapat menggerunkan penjual kereta lain cuba mengaut keuntungan dengan mengubah meter perbatuan kenderaan dan menghentikan taktik kotor berkenaan.
“Kesian kepada pengguna kalau itu satu-satu kereta yang dia ada, alat ganti pun bukan murah…nak tanggung ansuran bulanan lagi.
“Bagi saya itu penganiayaan dan pembulian,” katanya berharap kerajaan dapat mengambil tindakan kerana dikhuatiri taktik penipuan ‘mileage’ boleh menjadi semakin berleluasa dan melibatkan syarikat-syarikat penjual kereta terpakai terkenal. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.