PETALING JAYA: Pentadbir sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah tidak akan dikenakan tindakan susulan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua dalam kegiatan merentas desa anjurannya baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata, insiden berkenaan disifatkan sebagai “kemalangan”.
Katanya, acara larian merentas desa itu dilaksanakan oleh pihak sekolah mengikut garis panduan sedia ada.
“Ini adalah kemalangan (pelajar rebah kemudian meninggal dunia) dan program (merentas desa) yang dilaksanakan itu adalah anjuran pihak sekolah.
“Setiap acara larian merentas desa ada garis panduan sedia ada dan tidak timbul soal tindakan perlu diambil terhadap pentadbir sekolah,” katanya, menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli di penempatan Orang Asli Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang.
Azman mengulas insiden seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai larian rentas desa Jumaat lepas.
Pelajar itu rebah kira-kira 50m sebelum sampai di garisan penamat, pada kira-kira 9.30 pagi.
Menurut bapanya, remaja itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.