`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, April 21, 2024

Penternak lembu, pembantu bebas tuduhan edar dadah, miliki senjata api

 

Free Malaysia Today
Wan Marzuki Wan Daud, 59, dan Naim Azmi, 37, dibebaskan selepas pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Seorang penternak lembu dan pembantunya menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin, serta memiliki senjata api.

Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas membebaskan Wan Marzuki Wan Daud, 59, dan Naim Azmi, 37, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, beberapa isu dipertimbangkan antaranya berkaitan bukti deoksiribonukleik (DNA), kunci rumah, dan pemilikan sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah disewa oleh Wan Marzuki.

“Pelbagai sampel DNA juga diambil, namun tiada keterangan yang menunjukkan DNA mereka ditemukan ke atas dadah atau senjata api.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar 749.5g methamphetamine dan 87.8g heroin di sebuah rumah di Taman Pinggiran Atira 3, belakang Sekolah Menengah Kok Lanas, Mahang Barat, pada 12.50 tengah malam, 25 Feb 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa bersama-sama ada dalam milikan sepucuk pistol jenis Revolver di tempat dan tarikh sama lebih kurang pukul 12.10 tengah malam mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar, manakala Wan Marzuki diwakili peguam J Matthews dan Naim diwakili peguam Norah Abu Bakar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.