`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, April 21, 2024

Terlibat palsu slip mohon kad UNHCR, 2 warga Myanmar ditahan

 

Free Malaysia Today
Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Kelantan Ruzaana Mohamed menunjukkan gambar penahanan dua warga Myanmar menerusi Op Sapu di sebuah rumah sewa di Kampung Changgal, Kota Bharu, Kelantan, pada Jumaat lepas. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam sindiket mengeluarkan slip permohonan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu pada Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Kelantan Ruzaana Mohamed berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20an hingga 30an itu ditahan menerusi Op Sapu pada 2 pagi di sebuah rumah sewa di Kampung Changgal hasil risikan bahagian penguat kuasa.

“Suspek pertama menetap di negara ini menggunakan kad UNHCR sah dan mengaku sebagai pemilik komputer riba. Dia disiasat bawah Seksyen 55D dan 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, suspek juga membenarkan seorang lagi imigran haram tinggal bersamanya dan (dia) ditahan bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang media di Kompleks Jabatan Imigresen Kelantan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan dua komputer riba, peti besi dan sejumlah wang tunai RM140,000 milik suspek, disyaki hasil kegiatan itu, serta lima keping cetakan slip permohonan kad UNHCR palsu.

Katanya, siasatan lanjut terhadap isi kandungan komputer menemukan dokumen slip permohonan yang disyaki digunakan untuk mendapatkan kad UNHCR secara tidak sah.

Ruzaana berkata, pihaknya sedang mengenal pasti dalang utama kegiatan yang dipercayai dilakukan suspek itu sejak tiga tahun lepas.

“Kes pemalsuan slip kad perakuan pelarian itu adalah yang pertama bagi tahun ini dan kita tidak menolak sindiket itu mempunyai rangkaian tertentu di negara ini dengan menggunakan media sosial sebagai hebahan,” katanya.

Kedua-dua lelaki yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.