`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 24, 2024

48 penumpang, anak kapal SQ321 masih di hospital

 

singapore airlines
Penerbangan SQ321, dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal, dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara ekstrem. (Gambar Reuters)

BANGKOK: Seramai 48 penumpang penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321, yang terkesan oleh gelora udara ekstrem pada Selasa, masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, Hospital Samitivej Sukhumvit, dan Hospital Bangkok.

Hospital Samitivej Srinakarin dalam kenyataan berkata, setakat tengah hari Jumaat, masih terdapat 34 pesakit yang dirawat di Srinakarin, 12 di Sukhumvit, dan dua di Hospital Bangkok.

“Enam pesakit dibenarkan keluar dari Hospital Samitivej Srinakarin hari ini,” menurut kenyataan tersebut.

Baki pesakit yang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, terdiri termasuk sembilan warga Australia, tujuh warga Britain; tujuh rakyat Malaysia; tiga warga Filipina; dua warga New Zealand; dan masing-masing seorang dari Amerika Syarikat, Myanmar, Ireland, Iceland, Israel dan Sepanyol.

Tujuh rakyat Malaysia yang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin termasuk seorang anak kapal SQ321 manakala tiga rakyat Malaysia lain berada di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Penerbangan SQ321, dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal, sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan pesawat Boeing 777-300ER itu dialihkan ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan pada Selasa.

Insiden itu menyebabkan seorang lelaki British berusia 73 tahun maut, dan beberapa penumpang lain cedera.

Selepas insiden tersebut, SIA melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan, termasuk penggantungan perkhidmatan makanan dan menghendaki anak kapal kekal duduk ketika tanda tali pinggang keledar dinyalakan, sebagai sebahagian pendekatan lebih berhati-hati dalam menguruskan gelora udara dalam penerbangan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Samitivej Srinakarin Dr Adinun Kittiratanapaibool dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, kebanyakan pesakit di hospital tersebut mengalami kecederaan tulang belakang dan saraf tunjang, kecederaan tengkorak, serta pelbagai kecederaan tulang dan otot.

“Banyak pembedahan telah dilakukan sejak Selasa lepas, termasuk pembedahan tulang belakang, pembedahan tulang belakang toraks dan pembaikan luka koyak, dengan beberapa pesakit menerima rawatan paliatif,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.