`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 24, 2024

Blockout 2024, buli atau ajar?

 

Free Malaysia Today

Dalam dunia yang serba-serbi dipengaruhi alam maya atau dunia dalam talian, ‘mengajarkan’ seseorang khusus pempengaruh terkenal yang tidak bersikap atau bermunafik atas sesuatu isu nampaknya menjadi ‘senjata’ protes yang berkesan. Ia amat berkesan sehingga saya menyedari beberapa artis, pengarang malah tukang masak terkenal kini terpaksa menunjukkan sikap dalam isu genosid di Palestina, walaupun pada mulanya mampu menulikan telinga.

Ideanya mudah, pengekor media sosial ingin menegaskan yang dunia harus bersatu atas nama kemanusiaan sejagat. Jikalau kamu enggan atau tidak peduli — maka berhijrahlah ke planet lain — justeru dalam sibuk dan geger genosid yang menimpa Palestin, pengikut media sosial menggerakkan #Blockout2024 untuk menyasarkan selebriti dan pempengaruh tersohor yang langsung tidak bersuara tentang isu ini. Atau lebih buruk, mereka menyasarkan secara jelas artis yang bersekongkol dengan rejim Zionis.

Artis atau pempengaruh ini dalam banyak keadaan selalu memaparkan kemewahan mereka, sedangkan di waktu yang sama kita sedang menyaksikan kesengsaraan secara terbuka di Palestin. Mereka membutakan mata atau memekakkan telinga, seakan-akan tiada langsung sifat manusiawi. Dalam kelompok pelakon, seorang aktres kelahiran Malaysia misalnya tergamak menerima medal dari Presiden Joe Biden di Rumah Putih pada 4 Mei yang lalu.

Sikap diam diri mereka inilah yang menjadi sasaran Gen Z, iaitu anak-anak muda yang kebanyakannya pengguna aktif media sosial. Bermula di Amerika Syarikat sebagai membantah pesta fesyen Met Gala pada 6 Mei 2024, pengguna media sosial memutuskan bahawa parameter sebenar keihsanan insan adalah kesedaran kemanusiaan khusus apabila ia melibatkan kekejaman yang berlaku di Palestin. Makanya pelayar media sosial mengajak orang ramai untuk unfollow bahkan menyekat (block) akaun milik selebriti yang disenaraikan. Pergerakan ini serta-merta menunjukkan kejayaan besar apabila selebriti yang dikatakan ‘pro-Israel’ dengan sekelip mata kehilangan jutaan pengikut dalam masa beberapa hari sahaja.

Ia malah memaksa ramai selebriti untuk mulai memikirkan perihal ketersohoran mereka iaitu laba yang terjejas ekoran penyusutan jumlah pengikut atau pelayaran maya. Justeru, ramai yang perlahan-perlahan dengan malu-malu menunjukkan hipokrasi mereka bersolidariti dengan mangsa kekejaman Zionis di Palestin. Selepas kejayaan kempen ini di Amerika Syarikat, pelayar media sosial di Malaysia ikut menyahut seruan dengan turut menyenaraikan nama-nama mereka yang dikatakan wajar disekat Malaysia.

Timbul satu kemusykilan. Adakah gerakan ini satu pembulian siber atau sebetulnya satu protes yang sihat? Untuk menilai hal ini, kita wajar memahami tujuan Blockout 2024 terlebih dahulu.

Seperti yang dinyatakan, Blockout 2024 satu gerakan dalam talian oleh pengguna untuk melakukan boikot digital dengan menyasarkan artis, selebriti, dan pempengaruh yang diam di saat Israel mengganyang Gaza, Palestin. Ia boleh menjadi satu isyarat bahawa mereka berpihak kepada Zionis atau pro genosid. Medan boikot tersebut adalah TikTok, Instagram, dan di X yang mana niat mereka untuk menjejaskan kemampuan mereka memperagakan produk justeru menyasarkan pendapatan pasif mereka di dalam talian itu. Dalam banyak keadaan boikot ini diisytiharkan terlebih dahulu dan senarai mereka yang akan diboikot juga diedar.

Ini berbeza dengan buli siber. Ini kerana ia perbuatan mengancam, memalukan, atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit, atau permainan internet. Ia boleh jadi dalam bentuk mengganggu dan mengancam; menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain; memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh; sexting seperti tindakan menghantar gambar, mesej, atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit; atau, memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja.

Nah di sinilah ada garis halus yang perlu dianalisis.

Pembuli siber selalunya mustahil dikenalpasti kerana mereka boleh dan memilih untuk merahsiakan identiti sebenar. Juga, buli siber yang kronik akan mendorong mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain berkaitan dengan tekanan. Ada kes yang mana buli siber menyebabkan mangsa membunuh diri. Buli siber salah di sisi undang-undang. Akan tetapi memulau artis atau pempengaruh kerana enggan bersuara demi Palestina adalah sah di sisi undang-undang di mana pengguna tidak meletakkan sasaran dengan risiko nyawa.

Dalam banyak keadaan artis, selebriti, pempengaruh ini selalunya bersuara dalam isu-isu global yang lain, tetapi memilih berdiam diri dalam isu Palestin. Misalnya, mereka mungkin terpaling membantah serangan Rusia terhadap Ukraine tetapi berpura-pura tiada apa yang berlaku di Palestin. Tukang masak selebriti pula sering menunjukkan skil dan kesenian mereka dalam menyediakan sajian. Namun mereka berpura-pura tidak tahu apa yang berlaku di Utara Gaza di mana kebuluran meluas sedang terjadi ekoran Israel menyekat ketibaan bantuan dan bekalan makanan.

Terdapat juga pengarang sastera yang ketika menulis novel bukan main lagi menjadikan insiden 13 Mei 1969 sebagai tema perjuangan, atau rasisme sebagai bumbu karangan; akan tetapi gagal menyatakan apa-apa dalam keadaan genosid yang sedang kelihatan terang-terang di Rafah. Mereka juga pura-pura tiada apa yang berlaku walaupun kononnya anti rasisme, sedangkan dasar Zionis di Palestin apartheid yang memualkan.

Justeru gerakan Sekat 2024 atau Blockout 2024 ini nampaknya bukanlah pembulian. Ia satu protes atau kemogokan dari melawati atau melayari akaun sosial tertentu yang dirasakan tidak bermoral kerana enggan bersikap kepada pihak yang makruf.

Apa yang berlaku di Palestin bukanlah isu agama. Ia isu kemanusiaan yang perlu diberi perhatian. Jika ada pempengaruh memilih untuk tidak menggunakan pengaruhnya maka ia menunjukkan mereka tidak peduli. Sedangkan dalam banyak hal lain mereka boleh sahaja cakna dan konon mengambil berat. Justeru yang dipulaukan itu hipokrasi mereka. Protes ini berjaya menelanjangkan perangai artis dan selebriti terkenal. Bahawa mereka itu hipokrit dan hanya mementingkan keuntungan.

Maka tidak hairanlah ada yang segera menaikkan status pro-Palestin atau meminta pengendali akaun mereka berbuat sesuatu yang kelihatan seperti simpatisan, sedangkan sebelum ini mereka hanya membisu. Ternyata duit atau keuntungan menjadi pendorong mereka bersuara dan siapa diri mereka yang sebenar telah pun terdedah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.