`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 24, 2024

Kalau ada anak emas ada juga anak tiri ke?

 

Free Malaysia Today

Pertengahan bulan ini lebih tepat pada 13 Mei lalu, Ahmad Faizal Azumu, timbalan presiden Bersatu memberitahu khalayak atau all and sundry bak kata Inggeris, pemimpin atasan parti menganggap presiden mereka Muhyiddin Yassin tidak ada galang ganti. Lalu kata Faizal tidak pernah terlintas sama sekali di fikiran pemimpin atasan Bersatu untuk meminta Muhyiddin mengundurkan diri.

Itu reaksi beliau terhadap nasihat bekas menteri Zaid Ibrahim supaya Muhyiddin dan juga Presiden PAS Hadi Awang undur diri untuk memberi nafas baharu kepada Perikatan Nasional menghadapi politik semasa. Nasihat itu diberi berikutan kekalahan PN pada PRK Kuala Kubu Baharu tempoh hari.

Dalam konteks Bersatu, jika kenyataan terbuka Faizal benar mewakili semua pemimpin atasan partinya maka Muhyiddin is not going anywhere anytime soon walaupun jika beliau sendiri mahu undur. Sehingga kini pendirian Muhyiddin mahu carry on susulan permintaan isteri beliau masih dipegangnya. Setahu saya tidak ada kenyataan beliau yang mengatakan sebaliknya.

Imbau kembali perhimpunan agung Bersatu November lalu Muhyiddin mengumumkan mahu berundur lantas tidak akan mempertahankan jawatan presiden apabila pemilihan Bersatu diadakan kelak. Spekulasi timbul Hamzah Zainudin setiausaha agung parti akan menggantikan beliau tetapi Muhyididn mengubah pendirian setelah dinasihati isteri beliau, Noorainee Abdul Rahman.

Kata Muhyiddin, “dia kata ‘stay another term jangan kecewakan mereka they need you, mereka ikhlas, carry on, saya restu kerana Bersatu masih belum kuat’.” Kata-kata itu disiar meluas media.

Sekali gus Muhyiddin mengumumkan akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan presiden Bersatu bagi satu penggal lagi. Mengambil kira kenyataan Faizal yang disebut tadi, Muhyiddin tidak akan dicabar pada pemilihan parti. Justeru kalau ada pun sesiapa dalam kalangan pemimpin atasan Bersatu mengidamkan jawatan presiden kenalah pendamkan hasrat dan cita-cita, after all presiden tidak dicabar pada pemilihan parti bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Namun jika dilihat perkembangan dan beberapa pendedahan yang dibuat sumber dalaman kepada FMT, all is not well jika dibaca yang tersurat dan tersirat. Sumber Bersatu beritahu FMT baru-baru ini ada desakan akar umbi supaya syarat bertanding jawatan Top 5 pada pemilihan parti yang akan datang digugurkan.

Peraturan Bersatu menetapkan hanya ahli majlis pimpinan tertinggi selama dua penggal layak bertanding jawatan presiden yang umum tahu disandang Muhyiddin, timbalan (Faizal), dan naib (Radzi Jidin serta Ronald Kiandee). Seorang lagi penyandang jawatan naib presiden, Mohd Rafiq Naizamohideen, keluar parti pada Oktober 2022.

Sumber turut mendedahkan kepada FMT sudah ada percaturan perjalanan parti oleh segelintir pemimpin Bersatu yang dilabel ‘anak emas’ selain susunan jawatan termasuk kedudukan Hamzah si setiausaha agung.

Jelas ada akar umbi melihat peraturan sedia ada menyukarkan pertandingan serta ‘mengikat’ sesetengah pemimpin, dan memberi kelebihan kepada pemimpin atau kumpulan tertentu dalam parti. Maka timbul desakan agar menawarkan diri untuk bertanding Top 5 dipermudahkan, yakni terbuka kepada lebih ramai yang berminat.

Bagaimanapun Ahli MPT Mohd Rafiq Mohd Abdullah dipetik FMT berkata peraturan parti berhubung syarat bertanding tidak sewajarnya diubah sewenang-wenangnya untuk memenuhi kepentingan individu tertentu. Tidak pula dinamakan ‘individu tertentu’ yang dimaksudkan.

Bagi Rafiq, peraturan sedia ada harus dipatuhi selagi belum ada keputusan pimpinan Bersatu. “Kita kena akur. Tak kira kamu popular macam mana sekali pun tetapi kalau mengikut perlembagaan dan undang-undang parti kita tak layak maka terimalah… perlembagaan parti untuk dipatuhi bukan untuk dilanggar, yang tak sabar ramai tak cukup tempoh lagi,” kata beliau kepada FMT.

Ada lagi kata beliau. Ahli Bersatu yang berhasrat bertanding lima jawatan tertinggi parti September ini tetapi tidak cukup syarat “boleh mendapat kebenaran khas seperti yang diperolehi Kiandee empat tahun lalu”. Ertinya izin boleh diberi presiden parti.

Kata Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara, presiden Bersatu perlu bersikap terbuka dan tidak menyebelahi mana-mana kem dalam membuat keputusan berhubung kepimpinan masa depan parti. Dalam lain perkataan jangan sokong ‘anak emas’ sahaja.

Berkata pula Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, presiden parti “Jangan bergantung kepada kumpulan tertentu membentuk ‘cai’ dalam pertandingan, jika tidak dibendung boleh membawa kepada perpecahan parti.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan Bersatu perlu mengelakkan persepsi struktur pimpinan parti telah disusun oleh pihak tertentu walaupun menerusi proses pemilihan.

Ketiga-tiga penganalisis memberi nasihat itu yang disiar portal ini beberapa hari lalu. Adakah Muhyiddin akan dengar nasihat berkenaan?

Apa pun berkata si timbalan presiden, hal rumah tangga Bersatu mesti dibincangkan dalam parti tanpa membuka ruang perdebatan di khalayak termasuk saluran media. Realitinya umum tahu ada kem dalam Bersatu yang diketuai pemimpin yang ‘ada nama’ yang tidak ngam antara satu sama lain. Tidak perlu disebut siapa mereka. Ada yang Muhyiddin berkenan ada yang tidak.

Keadaan sudah memanas. Ada tiga bulan lagi sebelum pemilihan parti diadakan. Adakah panas akan bertambah panas? Masing-masing ada jawapan sendiri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.