`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, May 20, 2024

Menyamar polis samun warga asing, penjawat awam antara 4 ditahan

 

Empat suspek berusia 29 hingga 43 tahun yang disyaki terbabit kes samun berkumpulan itu ditahan di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor, Kelantan.

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam antara empat lelaki ditahan menyamar anggota polis dan menyamun lapan warga asing.

Suspek berusia 29 hingga 43 tahun yang disyaki terbabit kes samun berkumpulan itu ditahan di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Wan Ruzailan Wan Mat Yusoff berkata, mangsa ialah warga Myanmar yang bekerja sebagai buruh di Kota Bharu dan menetap di Malaysia selama 13 tahun.

Beliau berkata, mangsa bersama tujuh rakannya yang sedang berjalan pulang ke rumah ditahan empat lelaki memperkenalkan diri sebagai polis pada 10.30 malam kelmarin.

Katanya, suspek merampas dompet, telefon bimbit dan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik mangsa berusia 20-an serta rakannya sebelum melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat risikan, empat lelaki termasuk seorang penjawat awam dan tiga pekerja kedai mencuci kereta ditahan di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor kerana disyaki terbabit kejadian itu.

“Turut dirampas tiga motosikal, topi keledar dan sejumlah wang tunai,” katanya menurut Harian Metro.

Wan Ruzailan berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga 25 Mei ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat. Namun, kes masih di peringkat siasatan,” katanya sambil menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.