`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 12, 2024

‘Mini Amazon Malaysia’ jadi Kampung Angkat Madani KDN

 

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) melepaskan benih ikan air tawar pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng di Jeti Pengkalan Pipit hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memilih Kampung Beng, Lenggong, yang terkenal sebagai ‘Mini Amazon Malaysia’ sebagai Kampung Angkat Madani.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kampung Beng memiliki kelebihan tersendiri kerana mempunyai tapak warisan arkeologi bertaraf dunia serta flora dan fauna bernilai tinggi.

“Di sini juga ada tapak warisan arkeologi bertaraf Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang diiktiraf sejak 2012.

“Oleh kerana potensinya yang cukup besar, kita jadikan sebagai Kampung Angkat Madani dan kita naik taraf beberapa perkara yang kita anggap penting,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani KDN Kampung Beng.

Hadir sama Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Saifuddin berkata, RM2.5 juta diperuntukkan untuk menambah baik enam kemudahan asas di kampung itu, iaitu air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet.

Kampung Beng terdiri daripada enam perkampungan kecil iaitu Kampung Durian Lubuk, Kampung Beng Dalam, Kampung Dusun, Kampung Sekolah, Kampung Durau dan Kampung Batu Ring.

Sementara itu, Saarani berkata, pelaksanaan inisiatif menambah baik bekalan air bersih di Kampung Beng tepat pada masa kerana sebilangan penduduk masih menggunakan air bukit.

Menurutnya, Kampung Beng terkenal dengan inap desa bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, selain merupakan antara produk utama Tahun Melawat Perak 2024.

Beliau berkata, Kampung Beng, yang turut mengetengahkan keunikan sejarah dan keindahan alam semula jadi di Lenggong sebagai tarikan utama pelancong, memerlukan liputan Internet serta kemudahan air lebih baik untuk penduduk dan pelancong.

“Tapak Arkeologi Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2012 dan landskap semula jadi yang menakjubkan seperti Tasik Raban, Gua Badak serta Hutan Lipur Banding adalah antara kekuatan Lenggong sebagai destinasi pelancongan utama di Perak,” katanya.

KDN juga berhasrat membina sebuah balai polis bagi meningkatkan kemudahan keselamatan bukan sahaja bagi penduduk malah juga untuk pengunjung, tambahnya.

Saarani berkata, jajaran sempadan laut dan darat mendedahkan Perak kepada pelbagai ancaman keselamatan kerana Perak mempunyai satu pintu masuk darat, iaitu melalui kawasan di Pengkalan Hulu.

Beliau tidak menafikan kekuatan daripada aspek pelancongan serta potensi perindustrian di daerah yang bersempadan dengan Thailand itu membolehkan wujudnya kerjasama antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, katanya, tidak wujud kompromi dalam soal keselamatan negeri.

“Oleh itu, penambahbaikan infrastruktur serta aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan di pintu-pintu sempadan mestilah ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebolehoperasian dan kesiapsiagaan mereka sentiasa berada pada tahap yang paling tinggi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.