`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 15, 2024

Pemilihan Bersatu: Jangan sokong ‘anak emas’, bersikap terbuka, Muhyiddin diberitahu

 

Muhyiddin Yassin akan lebih dihormati jika tidak menyebelahi mana-mana kumpulan dalam membuat keputusan berhubung kepimpinan masa depan parti itu.

PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin perlu bersikap terbuka dan tidak menyebelahi mana-mana kem dalam membuat keputusan berhubung kepimpinan masa depan parti itu, kata penganalisis.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata pertimbangan paling penting harus diutamakan Muhyiddin ketika ini adalah kelangsungan Bersatu mengambil kira beberapa perkembangan semasa termasuk kekalahan pada PRK Kuala Kubu Baharu, minggu lalu.

“Jalan terbaik adalah Muhyiddin perlu kekal neutral dan tidak terlalu cenderung dengan mana-mana kem jika benar kewujudannya seperti diperkatakan.

“Presiden akan lebih dihormati dan menjamin kestabilan parti untuk satu jangka masa yang lama,” katanya mengulas desakan akar umbi Bersatu supaya syarat bertanding jawatan ‘top 5’ pada pemilihan parti akan datang digugurkan seperti dilaporkan FMT, semalam.

Peraturan Bersatu menetapkan hanya ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama dua penggal layak bertanding jawatan presiden yang kini disandang Muhyiddin, timbalan (Ahmad Faizal Azumu) dan naib (Radzi Jidin serta Ronald Kiandee).

Difahamkan, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat MPT Bersatu dalam masa terdekat dan pimpinan diketuai Muhyiddin perlu membuat keputusan berkaitannya segera memandangkan pemilihan parti dijangka tidak lama lagi iaitu September depan.

Sumber turut mendedahkan kepada FMT telah ada percaturan perjalanan parti oleh segelintir pemimpin Bersatu yang dilabel ‘anak emas’, selain susunan jawatan termasuk kedudukan setiausaha agung yang kini disandang Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Ariff berkata kegagalan Bersatu mengubah saf kepimpinannya yang disifatkan segelintir pihak mempunyai kelemahan boleh menyebabkan kepercayaan ahli semakin terhakis.

“Sebelum keretakan ini mula bertapak, struktur organisasi dalaman Bersatu perlu dipulihkan dan dikukuhkan,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Muhyiddin selaku pemimpin berpengalaman mampu membuat keputusan terbaik dalam memastikan Bersatu mempunyai pemimpin pelapis yang baik.

“Namun beliau perlu bersikap terbuka tanpa memberikan dorongan kepada mana-mana kumpulan, maksudnya semua mesti dilihat sama rata dan diberi peluang untuk memimpin berdasarkan kemampuan.

“Jangan bergantung kepada kumpulan tertentu membentuk ‘cai’ dalam pertandingan, jika tidak dibendung boleh membawa kepada perpecahan parti,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan Bersatu perlu mengelakkan ada persepsi struktur pimpinan parti itu telah ‘disusun’ oleh pihak tertentu walaupun menerusi proses pemilihan.

“Ini perlu dielakkan oleh Bersatu supaya tidak terjebak dengan apa yang dialami Umno, perkara itu memberi stigma negatif,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.