`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 24, 2024

PZW UUM, Products2U lahirkan asnaf usahawan sosial digital

 

Seramai 50 penuntut asnaf UUM yang terpilih didanai modal permulaan RM300 seorang bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan dalam talian.

PETALING JAYA: Pusat Zakat dan Wakaf Universiti Utara Malaysia (PZW UUM) mengadakan kerjasama strategik bersama syarikat penyedia platform perniagaan dalam talian, Products2U (P2U) bagi melahirkan usahawan sosial digital dalam kalangan penuntut asnaf di institusi pengajian tinggi itu.

P2U diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Muhamad Farhan Khairol Anuar hadir bersama pasukannya ke universiti itu untuk memberikan tunjuk ajar dan perkongsian memulakan perniagaan dalam talian.

Pasukan tenaga muda dan energetik P2U cukup terlatih dalam membantu penuntut terbabit yang hadir untuk mendaftar dan terus memulakan perniagaan dalam talian secara langsung.

Pengarah PZW UUM, Prof Rosylin Mohd Yusof, berkata program bagi melahirkan usahawan sosial digital itu bertujuan memberikan penuntut asnaf yang menyertainya, peluang untuk mengubah keadaan ekonomi semasa kepada mampu menjana pendapatan sendiri, seterusnya menjadi muzaki pula dengan kejayaan perniagaan mereka kelak.

Peserta berharap program seperti itu diteruskan khususnya untuk membantu golongan asnaf dan mereka yang berminat untuk berniaga dalam talian.

Katanya, seramai 50 penuntut asnaf terpilih telah didanai modal permulaan sebanyak RM300 seorang bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan dalam talian, dan ia mampu memperoleh keuntungan tinggi jika berdisiplin serta pandai mengurus masa dengan baik tanpa menjejaskan pengajian masing-masing.

“Peserta bukan sekadar diberikan tunjuk ajar untuk berniaga, malah sesi perkongsian dan latihan itu turut didedahkan berkaitan rahsia untuk menjadi usahawan berjaya menerusi produk haruman Sugar Bomb oleh Kanumbu Agussalim.

“Tatacara berniaga melalui platform Shopee dan Lazada juga dikongsikan oleh Pengurus Jualan P2U, Shaikrul Haeiri dan tatacara perniagaan melalui TikTok dikongsikan oleh Pengurus Tiktok P2U, Nur Syazwani Baharing yang berjaya menghasilkan jualan lumayan melalui sesi ‘live’ dengan hanya menggunakan suara tanpa perlu menampakkan wajah beliau,” katanya dalam kenyataan.

Peserta diberikan tunjuk ajar dan perkongsian untuk memulakan perniagaan dalam talian.

Rosylin berkata, pihaknya berterima kasih kepada rakan strategik iaitu Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan yang dihadiri Pengarahnya Afirudin Tapa, Majlis Profesor UUM diwakili Prof Abdul Halim Abdul Majid dan Prof Samihah Khalil.

“Selain itu Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) yang mengenal pasti pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) seramai lapan orang dan empat wakil Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) sebagai mentor untuk memantau kemajuan peserta program ini.

“Semua mentor dalam kalangan pensyarah menawarkan diri tanpa mengenakan bayaran untuk membantu penuntut asnaf ini. Kesungguhan ditunjukkan semua yang hadir menjadi pemangkin bagi PZW UUM terus melakar pelbagai program lagi ke arah transformasi asnaf pelajar kepada muzaki. Pelaksanaan program ini sekali gus membolehkan pencapaian SDG 1, 2, 3, 4, 8 dan 17,” katanya.

Seorang peserta menerima cenderahati di akhir program.

Sementara itu, Farhan menjelaskan pihaknya hadir tanpa mengenakan bayaran kepada UUM, sebaliknya menganggap ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat P2U dalam membantu khususnya penuntut asnaf mengembangkan potensi diri mereka menceburi alam perniagaan semasa masih di universiti.

Katanya, dalam keadaan dunia luar pasca pengajian pendidikan tinggi, persaingan mendapatkan pekerjaan begitu kompetitif dan graduan tidak perlu mengharapkan makan gaji semata-mata, sebaliknya menyediakan perancangan sumber pendapatan sampingan yang boleh menjadi pendapatan utama melalui kesungguhan mereka sendiri untuk berjaya.

Dalam pada itu, seorang peserta yang ditemui amat bersyukur kerana bukan sahaja menerima zakat tetapi boleh dijadikan modal perniagaan melalui platform P2U.

Walaupun pada peringkat awal beliau kurang yakin, selepas melalui program itu peserta terbabit menyifatkan ia peluang terbaik untuk memulakan perniagaan sebagai seorang penuntut.

Beliau mengharapkan program seperti itu diteruskan khususnya untuk membantu golongan asnaf dan mereka yang berminat untuk berniaga dalam talian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.