`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 19, 2024

Serangan pagi Jumaat

 

Free Malaysia Today

Didoakan dua anggota polis yang terbunuh dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam dicucuri rahmat Yang Maha Esa dan ditempatkan dalam kalangan solihin. Al-Fatihah. Ucapan takziah buat keluarga.

Umum tahu Ketua Polis Negara Razarudin Husain sudah memberitahu bahawa suspek yang membunuh dua anggota polis itu dan mencederakan seorang lagi anggota dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah atau JI. Suspek ditembak mati dalam kejadian tembak menembak dengan polis.

Berikutan kejadian itu polis menahan lima anggota keluarga suspek semasa membuat serbuan di rumah mereka. Menurut Razaruddin rumah itu banyak ditampal ayat Al-Quran dan “kita tahu ini adalah ahli JI”.

“Saya juga telah arahkan SB (Cawangan Khas) dapatkan semua anggota JI di Johor untuk dikenalpasti dan ambil (mereka) untuk siasatan,” kata beliau. Beliau juga dipetik FMT berkata “kalau kita boleh menangkap lebih 20 anggota JI ini mungkin perkara ini (dapat selesai)”.

Ertinya sekurang-kurangnya ada 20 ahli JI di Johor. Bagaimana pula di luar Johor? Kita percaya polis akan menyiasat rapi.

Menurut ketua polis negara, ketika bertempur dengan polis suspek telah melakukan persediaan rapi “apabila memakai ‘shield’ diperbuat daripada zink, kain, dan kertas”. Ertinya serangan itu sememangnya dirancang.

Razaruddin tidak menolak kemungkinan suspek menyerang balai pois untuk mendapatkan bekalan senjata daripada polis. Ertinya menyerang untuk merampas senjata daripada polis. Untuk apa senjata itu? Razaruddin berkata agenda suspek belum diketahui.

JI adalah dalang insiden bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan 200 orang. Pengeboman menyasarkan Hotel Marriot dan Ritz Carlton di Jakarta pada 2009 juga dikaitkan dengan JI.

Ahli JI dilaporkan menerima latihan ketenteraan di Afghanistan pada 1990-an dan juga didakwa mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda. Menurut Wikipedia, JI dikenali sebagai kumpulan terorisme yang rentas negara dengan adanya sel di Indonesia, Singapura, Malaysia, dan Filipina.

Jemaah Islamiyah bermaksud ‘kumpulan Islam’ dan berhasrat mendirikan ‘negara Islam raya’ di Nusantara.

Malaysiakini memetik penganalisis, R Paneir Selvam, berkata serangan awal pagi semalam merupakan peringatan bahawa ideologi pengganas masih satu masalah di Malaysia – “walaupun kita berjaya patahkan organisasi atau ketua mereka ia tidak bermakna ideologinya juga terhapus.”

Beliau juga dipetik berkata “anda perlu faham yang otak mereka telah dicuci dengan ideologi ekstreme. Maka program nyah radikalisasi sahaja tidak akan mendatangkan hasil memandangkan tidak ramai yang menunjukkan mereka insaf”.

Justeru beliau menggesa jabatan agama negeri bekerjasama dengan polis dan mengenal pasti jika ada penceramah yang menyebarkan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Harakahdaily melaporkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhil Shaari berkata partinya meminta rakyat bertenang dan memberi ruang kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri bertindak dan melakukan siasatan menyeluruh.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil pula menasihati orang ramai terutama warganet tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti mengenai serangan balai polis Ulu Tiram dan jangan membuat spekulasi.

Apa pun menyerang balai polis sesungguhnya tindakan terdesak yang membimbangkan malah menakutkan. Teringat pada 16 Okt 1980 Balai Polis Batu Pahat diserang 16 ahli kumpulan ajaran sesat. Dua puluh tiga orang termasuk 14 anggota polis cedera. Ada yang parah, enam ahli kumpulan ajaran sesat ditembak mati.

Menurut Wikipedia baki penyerang lari dan bersembunyi di sebuah rumah 10km dari bandar Batu Pahat. Polis menyerbu rumah itu. Empat ahli kumpulan ditembak mati, empat cedera manakala dua melarikan diri. Polis juga menjumpai sejadah, bendera putih tertera kalimah syahadah, dan perkataan Muhammad, Mahdi, dan Isa dalam tulisan Jawi berwarna hijau putih. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.