`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 27, 2024

Seorang Budin tak ada SPM dan guru kaunseling lawa

 

Free Malaysia Today

Baru-baru ini, dalam satu acara yang dihadiri ramai penjawat awam dari pelbagai agensi, saya didudukkan di sebuah meja yang antara lain ada pegawai pendidikan daerah, guru kaunseling, dan seorang pegawai polis berpangkat tinggi.

Yang bagusnya mereka bukan jenis membaca, makanya tidak mengenal saya. Dek sebab tidak mengenal ada Seorang Faisal Tehrani di situ yang sedang memasang telinga, mereka melabun bersembang aneka macam begitu seronok sekali.

Salah satu inti perbualan mereka ialah mengenai meningkatnya pelajar yang ponteng sekolah, dan kemudian terlibat dalam aktiviti sumbang, jenayah, dan tidak berakhlak. Dari kandungan perbualan mereka, saya kesani dengan cepat sekali yang salah satu anjuran Kementerian Pendidikan nampaknya ialah menurutkan pelajar ponteng ini di rumah. Untuk itu, mereka memerlukan iringan pihak polis.

Sang pegawai polis lantas bertanyakan soalan polos, mengapa perlu mencari murid sampai ke rumah?

Jawapan guru kaunseling itu amat menarik di telinga saya: “Sebab itu adalah KPI kami”. Jawapan balas ini disahut dengan tingkah kecewa oleh pegawai polis tersebut.

Jika penjawat awam, orang kementerian, dan mungkin menteri pendidikan sendiri terus melihat masalah menangani kepontengan dan keciciran ini sebagai satu bentuk KPI, makanya saya boleh ucapkan sayonara Malaysia.

Isu kepontengan dan keciciran ini tidak lengkap jika kita tidak pula membicarakan perihal Seorang Budin. Dia ialah Seorang Budin yang saya kenali setelah ibunya jatuh ketika bekerja gara-gara lantai licin, dan langsung lumpuh.

Seorang Budin ada masalah keluarga. Bapanya meninggal dunia akibat Covid-19 setelah Seorang Abah membukakan sempadan agar PRN Sabah dapat berlangsung satu masa lalu. Natijah dari PRN itulah bapa Seorang Budin dijangkiti bencana celaka itu dan meninggal dunia seorang diri di hospital. Ibu Seorang Budin sebelumnya seorang pencuci tandas awam. Selepas kerjanya sekitar jam 6 petang, dia berniagakan ayam goreng keju di hadapan rumah. Adik-beradik Seorang Budin jumlahnya ada 8 orang.

Seorang Budin inilah yang selalu ponteng sekolah, tidak hadir, dan keciciran. Seorang Budin inilah penyumbang kepada statistik angka lebih 10,000 calon SPM tahun 2023 yang tidak hadir menduduki peperiksaan.

Orang seperti Seorang Budin dikategorikan sebagai ‘ketidakhadiran luar kawalan’ yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Untuk mengatasi tidak akan berlaku lagi Seorang Budin, guru kaunseling dan pegawai pendidikan daerah akan mengejar Budin-Budin lain di rumah, di pasar, di kebun, di bengkel, mungkin di lorong entah mana.

Sebagai satu KPI.

Seorang Budin padahal adalah seorang insan. Seorang rakyat. Seorang pengundi otomatis.

Sepanjang tahun pengajian SPM, kehadiran Seorang Budin ke sekolah bertebuk-tebukan. Ada hari hadir penuh, ada hari tidak hadir. Ada hari Seorang Budin akan hadir di awang-awangan, yakni ada bagaikan tiada. Dia bukan seorang manusia. Dia hanya Seorang Budin yang mesti dipastikan hadir ke sekolah. Ini kerana KPM mesti memastikan kehadiran murid ke sekolah dan juga kehadiran murid ke SPM ditingkatkan, dengan beberapa intervensi.

Kata pegawai pendidikan daerah di meja saya itu, “Kalau dak Budin ada hal keluarga, dan terpaksa bekerja menampung sara adik-adik, makanya itu bukan kerja dak Budin. Kerja dak Budin ialah belajar, dan ambil SPM.”

Disampuk guru kaunseling yang mekapnya lawa itu, “Betul… agar KPI kami kelak penuh.”

Tambah pegawai pendidikan, “Kalau keluarga dak Budin tiada duit, itu biar Jabatan Kebajikan fikir, tapi dak Budin mesti hadir ke sekolah.”

Lagi lekas dicelah guru kaunseling yang mekapnya terletak itu, “Betul… agar KPI kami kelak penuh.”

Nah, itulah tindakan untuk menangani Seorang Budin, dengan mengeluarkan semula Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid di Sekolah Kementerian Pendidikan untuk menegaskan rekod kehadiran murid ke sekolah. Kalau tidak hadir, mereka akan ‘dicari’ atau ‘diburu’ dan dibawa sama polis.

Ini kerana ada KPI yang perlu dicapai, ada markah penilaian penjawat awam yang perlu diskor, iaitu mesti ada kaedah yang disebut KPM sebagai ‘usaha berterusan dan komitmen semua pihak memastikan peningkatan kehadiran’.

Seorang Budin telah lama tercicir, dan Seorang Budin telah tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM. Seorang Budin inilah antara yang termasuk dalam penyataan pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 Mei lalu, di mana Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, daripada 383,685 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam itu, hanya 373,525 calon hadir dengan 93.5% daripadanya layak mendapat sijil SPM.

Ada sekitar 10,000 murid tidak hadir peperiksaan SPM. Salah seorangnya Seorang Budin.

Saya membayangkan Seorang Budin yang kini menjadi penjual buah durian Batu Kurau di tebing jalan menuju Kampung Razak Baginda. Seorang Budin ini tiada kelayakan apa pun. Sukar untuk Seorang Budin bekerja kelak, ini kerana di Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia adalah segala-galanya. Saya membayangkan adik-beradik Seorang Budin yang nanti akan meniru jejak abangnya. Saya membayangkan negara ini yang sedang bermandi madani. Seorang Budin kemudian berkenalan dengan seorang ustaz TikTok. Seorang Budin menjadi ekstrem oleh perkenalan dengan Abu Dardak. Seorang Budin lambat laun diradikalkan. Seorang Budin lama-kelamaan menyimpan bendera IS. Seorang Budin… lamunan saya mati andar.

Hidangan meja VIP kami pun tiba. Penuh meja aneka lauk. Saya ucapkan terima kasih kepada pramusaji bila disua lauk Daging Masak Palembang. Tiba-tiba pegawai pendidikan daerah terperasan akan kewujudan saya, “Encik nama apa? Dari mana?” Dia kelihatan sungguh berminat.

Saya sempat tersenyum manja, “Saya Seorang Tehrani. Pengarang kolum di beberapa portal berita.”

Saya suap nasi dengan lauk daging, seraya saya melihat dak guru kaunseling yang mekapnya pernah rapi itu sudah sememeh. Ada peluh jantan merintik dan terbit dari kulit kepala gamaknya, turun mengalir berlinang ke dahi, jatuh di sisi pipi menuruni bedak asas yang tebal. Sudu untuk lauk sambal sotong yang sedang disenduk guru itu opocot terlepas dan dak guru kaunseling cemas terlatah; “O KPI O mak kau KPI.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.