`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 11, 2024

Pelajaran dari Sg Bakap, kalau PH peduli untuk belajar

 

Free Malaysia Today

Ada satu pelajaran dari Sungai Bakap selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri di situ baru-baru ini. Seperti mana yang diketahui, calon PH iaitu Joohari Ariffin kalah dalam pertarungan satu lawan satu dengan calon PN, Abidin Ismail. Ramai menyebutkan komunikasi yang lemah dan ketidakmampuan blok kerajaan perpaduan menjawab naratif pembangkang sebagai punca kekalahan.

Ramai bertanya kepada saya apakah penawar segera yang boleh diambil oleh kerajaan madani dalam masa tiga tahun ini, sebelum pilihan raya umum menjelma kembali. Adakah pengundi Melayu akan berubah meninggalkan jubah atau selimut hijau?

Jawapan saya tidak. Melayu sudah tidak lagi boleh berubah. Sudah terlambat. Apa yang Pakatan Harapan harus lakukan adalah memberi tumpuan kepada pengundi asas mereka iaitu Melayu berpelajaran (juga kadangkala dicop Melayu Liberal) yang tidak semestinya menetap di bandar; pengundi Cina, dan tentunya pengundi India. Selepas ini apa sahaja polisi kerajaan harus merebut hati mereka.

Ada yang bertanya pula, mengapa pengundi Melayu masih ramai yang seronok diusap Perikatan Nasional.

Begini, dalam disiplin psikologi, terdapat satu kaedah atau proses pembelajaran (dalam hal ini pemanipulasian politik) yang dapat dihitung menerusi prosedur Pavlovian secara ‘conditioning’. Prosedur dimaksudkan ialah apabila satu-satu entiti (E) memiliki kawalan penuh terhadap semua peristiwa, (E) boleh menentukan kekerapan masa, ketepatan aksi percubaan selain menguruskan tingkah laku sasarannya. Sebagai misalan, latihan terhadap seekor anjing dengan memberinya makan pada setiap jam 3 petang sahaja, dengan menghantar satu isyarat denting loceng; yang dilakukan berulang-ulang sehingga sang anjing terbiasa dan terlatih oleh tubi dan asakan latihan yang sama akan menatijahkan anjing menunggu makanan pada setiap jam 3 petang dengan bunyi loceng dengan penuh selera. Latih tubi ‘appetite behaviour’ ini dari dahulu hingga sekarang memperolehi jawapan yang sama. Iaitu sasaran untuk prosedur ‘conditioning’ ini di akhirnya akan mengikut, taat, patuh, dan meniru apa yang disogokkan oleh (E).

Sejak Pavlovian mengemukakan gagasan conditioning ini tokoh-tokoh psikologi ulung antara lain seperti MM Shapiro, W Kintsch dan RS Witte memutuskan bahawa prosedur ‘conditioning’ dengan latih tubi ‘appetite behaviour’ ini sangat berkesan dalam menentukan kejayaan proses pembelajaran sasaran.

Prosedur ‘conditioning’ ini boleh menjadi strategi media pihak pembangkang yang berkuasa di platform TikTok ketika berkempen politik, khususnya di musim pilihan raya. Pemanipulasian politik di saat kempen pilihan raya semakin membahang adalah sesuatu yang selalu terjadi, malah di negara-negara maju. Di negara tertentu, pemanipulasian ini terjadi di platform X.

Di negara kita, media sosial seperti TikTok kini menggantikan RTM. TikTok dapat menjadi alat mempengaruhi, alat memanipulasi, dan alat penyampai maklumat yang berkesan. Media sosial justeru menjadi medium yang efektif buat entiti politik seperti politikus, parti politik, dan pempengaruh bertudung labuh di hadapan kitab ‘Riyadus Salihin’. Masyarakat yang dilatih tubi oleh (E) dalam hal ini, media sosial, akan mengutip dan menyerap terlalu banyak pesan mereka. Oleh kerana ia merupakan satu proses ‘conditioning’, masyarakat akan akhirnya mengikut, taat, patuh, dan meniru apa yang disogokkan oleh media sosial ini.

Adakah PH sedar, di saat Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap yang lalu apakah yang dilatih tubikan oleh algoritma TikTok? Apakah yang disogokkan oleh media sosial mahupun kumpulan WhatsApp kepada masyarakat sebagai pusingan ‘appetite behaviour’? Bagaimana masyarakat menerima dan terlazim; malah terpengaruh sikap mereka dengan apa yang disalurkan oleh platform itu?

Dengan akses kepada media sosial demikian meluas dan menjadi satu hak asasi, media sosial dengan pelbagai platform seperti TikTok misalnya menjadi medium yang memaksakan dalam satu bentuk panopticon. Michel Foucault dalam tahun 1979 pernah menggunakan metafora panopticon ini untuk menggambarkan bagaimana sesebuah organisasi besar mengawasi manusia, langsung mengawal dan menentukan kehidupan awam. Panopticon sejenis alat kawalan di penjara yang berpusat dan membolehkan pihak penguasa melihat dan memerhatikan banduan. Tujuan panopticon bukanlah untuk mengawasi semata-mata tetapi lebih untuk mewujudkan satu keadaan yang dirasai dan disedari kewujudannya, sekaligus menjamin kewujudan semacam satu kuasa sedang menentukan gerak laku banduan.

Meskipun ketika itu — di tahun 1979 — Foucault tidak secara terang merujuk media sebagai satu jenis panopticon, andaian bahawa media perdana mendapat tempat dan kedudukan di ‘menara kawalan panopticon‘ sangat relevan. Di tahun 2024, Angkasapuri bukan lagi menara panopticon. Hari ini panopticon ada di tangan setiap pengundi, dalam bentuk telefon pintar.

Sesuatu yang perlu diingat tentang panopticon ialah sifatnya; iaitu sifat ‘sedikit menentukan yang banyak’. Dalam hal ini sekumpulan minoriti sedang menguasai, mempengaruhi, mencorak, dan memegang umat majoriti melalui satu kawalan yang olok-olok atau kawalan momok-momokkan. Ia bukanlah satu kawalan yang sebenar.

Maka pempengaruh dan politikus ekstrem di TikTok misalnya menggantikan panopticon RTM di zaman Mahathir Mohamad 1.0. Panopticon baharu ini memantakkan naratif palsu bahawa heiiii Melayu terancam, ada Cina, ada BlackRock, ada Syiah, ada LGBT, ada macam-macam lagi.

Fenomena segelintir ahli masyarakat yang dapat dipukau sehingga mereka mengimani ideologi Tiktok ini berkait rapat dengan gejala panopticon ini. Kecelakaan besar yang ditimpakan oleh media sosial panopticon ini adalah ia membantut, mengkontot, dan membasmi kekuatan jati diri bangsa sehingga pandangan sarwanya (world view) terhijab, epistemologinya (falsafah keilmuan) tertempurung dan aksiologinya (sistem nilai) terkepung. Ekoran kecelakaan besar itu, rakyat atau orang awam menjadi lumpuh fikir, mendapat strok pada pusat akal, kehilangan rasio, dan lojik lantas membenarkan pemalsuan naratif berganda menimpa pundak mereka.

Strategi bertingkat untuk membetulkan sasaran yang mengalami ‘brainwash’ TikTok perlu ditekuni. Oleh kerana manusia tidak memiliki daya taakulan yang sama, kreativiti dalam penyampaian rasa peduli di atas perlu dipelbagaikan. Ada sesetengah madh’u (baca: pengundi) di luar sana yang jahil dan terus mempercayai kejahilannya.

Sekarang, setelah panjang lebar mengetahui bagaimana sesetengah pengundi muda (khusus Melayu) seronok diusap dengan mimpi hijau itu, apakah yang harus kerajaan perpaduan lakukan?

Tak susah mana penawarnya. Carilah kepala penerangan dan komunikasi yang lebih baik. Kepala penerangan dan komunikasi yang ada sekarang amat lemah. Penasihatnya malah boleh mengherdik Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 di medan terbuka.

Jika Pakatan Harapan ingin memenangi pilihan raya umum kelak, mereka harus memberi tumpuan kepada pengundi asas mereka. Selepas ini apa sahaja polisi kerajaan harus merebut hati mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.