BAHANG cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin terasa meskipun pelaksanaannya setahun lebih daripada sekarang.
Jika sebelum ini resit-resit pembelian barangan dan makanan terus disimpan di dalam dompet ataupun sekadar direnyuk dan kemudiannya dicampak ke dalam tong sampah tetapi kini, selain jumlah baki wang yang dipulangkan, resit turut dibelek pengguna.
Penulis juga tidak terkecuali mula membelek setiap resit pembelian barang dan makanan yang diterima sejak akhir-akhir ini.
Bukan senarai atau harga barangan yang diteliti tapi mata penulis terus mencari perkataan ‘tax’ ataupun GST.
Manalah tahu GST itu sudah mula dilaksanakan sebelum tarikh rasminya kan?
Ada resit yang mencatatkan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus, ada juga cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus dan ada juga resit yang sudah siap sedia dengan ruangan GST tetapi kadarnya masih sifar peratus.
Penulis beranggapan itu mungkin persiapan awal pihak peniaga. Hanya tinggal ubah angka sifar menjadi angka enam.
Berbalik kepada pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014, minggu lalu.
Katanya, GST tidak akan melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan barang keperluan asas seperti gula, garam, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, belacan serta budu.
Cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (6 peratus) yang bermula masing-masing pada tahun 1972 dan 1975 lagi akan dimansuhkan.
Soal pelaksanaan GST ini sebenarnya diakui semua pihak dalam memastikan kelangsungan ekonomi dan pembangunan negara.
Cuma, soal masa menjadi pertikaian banyak pihak. Mereka beranggapan pelaksanaan GST masih belum sesuai ekoran pendapatan rakyat masih belum meningkat.
Ada pihak mengatakan, pelaksanaan GST akan menyebabkan harga barang semakin mahal tapi ada juga yang mendakwa harga barang akan menjadi murah.
Sebelum ini, dalam satu temu bual eksklusif penulis bersama Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, beliau menyebut, harga barang ditentukan kadar GST yang dikenakan kerajaan.
Ketika itu masih belum tahu lagi berapa kadarnya dan penganalisis menjangkakan kadar GST yang akan dilaksanakan adalah 4 peratus.
Kini, kadarnya sudah pun ditentukan sebanyak 6 peratus, agak tersasar daripada jangkaan tersebut.
Namun, penulis masih tertanya-tanya sama ada harga barang turun atau naik?
Wan Saiful menyebut, jika kadar GST rendah dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dihapuskan, maka harga barang mungkin turun.
Mungkin turun. Masih belum menjawab persoalan penulis. Mungkin kita perlu menanti 1 April 2015 untuk mengetahui turun naik harga barang.
Tetapi apa yang sudah pasti adalah kadar 6 peratus itu boleh menjadi 10 peratus, 20 peratus bahkan 30 peratus pada masa akan datang.
Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan 2016, kadar GST menjadi 8 peratus.
Pelarasan cukai ini mungkin ada baiknya tetapi kadarnya yang akan terus meningkat saban tahun akan terus menjerut rakyat berpendapatan rendah.
Jadi, ada benarnya sesetengah pihak yang berpendapat agar pendapatan rakyat ditingkatkan dahulu sebelum GST dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.